Program Tadarus, Terjemahan Jadi Teras – Shahrizat

KUALA LUMPUR – Program terjemahan dan tafsir al-Quran bakal menjadi program teras yang dikendalikan Skuad An-Nur Pergerakan Wanita UMNO di seluruh negara kata Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan dan ilmu al-Quran bukan sahaja kepada anggotanya tetapi juga masyarakat setempat.

“Amat mustahak untuk kita memahami al-Quran supaya kita dapat mengimplementasi segala ajaran yang dipelajari daripadanya.

“Kalau kita mempelajari dan menghayati segala ajaran dalam al-Quran, Insya-Allah politik kita juga akan mendapat keredaan Allah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tadarus Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan anjuran Wanita UMNO di Masjid Mu’adz Bin Jabal Taman Setiawangsa, di sini hari ini.

Menurut Shahrizat, program keagamaan perlu menjadi program tulang belakang kerana ia selaras dengan tiga teras perjuangan UMNO iaitu agama, bangsa dan negara.

Program Tadarus Perdana itu yang disertai 800 anggota Wanita UMNO dari 12 bahagian Parlimen Wilayah Persekutuan turut dihadiri Anggota Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Selain bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan, program tersebut diadakan untuk mengeratkan silaturahim dan mendekati rakyat daripada pelbagai lapisan.

Seramai 100 pelajar tahfiz turut menerima sumbangan pada majlis itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.