PAN Tolak Cadangan PPBM Ketuai Pakatan Harapan

SHAH ALAM – Amanah melihat cadangan Datuk Zaid Ibrahim yang mahu kepimpinan Pakatan Harapan (PH) diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai tidak selari dengan falsafah gabungan berkenaan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, untuk mengukuhkan gabungan itu, ia tidak memerlukan satu-satu parti bertindak sebagai ketua kepada parti-parti yang lain.

“Saya rasa konsep yang Zaid nak cadangkan supaya diserah kepimpinan Pakatan Harapan ke parti Bersatu (PPBM) itu adalah satu naratif dan pendekatan yang tidak sesuai bagi Pakatan Harapan.

“Ianya sesuai bagi Barisan Nasional (BN) di mana dalam BN satu parti yang memimpin, Umno.

“Kita nak jadi betul-betul satu pakatan yang kukuh bersama, bukan satu pimpin yang lain semua ikut, bukan itu caranya,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

Kelmarin Zaid di dalam laman Twitternya berkata, jika PKR, DAP dan Amanah tidak mahu kecewa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kepimpinan PH harus diberikan kepada PPBM.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam itu menegaskan PH menggunakan pendekatan dan budaya politik yang baru, di mana setiap parti komponen mempunyai peranan yang sama penting.

“Tetapi dalam PH kita nak ada pendekatan dan budaya politik yang baru dimana semua parti didalam Pakatan Harapan ini dilihat sebagai parti yang sama kedudukannya, sama tarafnya dan keputusan dibuat dalam kata sepakat, ini yang beza kita dengan Barisan nasional, kita tak mahu jadi Barisan Nasional 2.0.

“Jadi saya rasa apa yang dicadangkan Zaid Ibrahim tidak kena dengan falsafah pakatan harapan itu sendiri sejak mula dulu,” ujarnya lagi.

Sebelum ini tersebar struktur kepimpinan PH yang memperlihatkan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, diikuti oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.

Manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya dilantik sebagai penasihat dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekadar timbalan presiden.

Bagaimanapun ia dinafikan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

PH dalam mesyuaratnya kelmarin memaklumkan akan mengumumkan struktur organisasi gagasannya minggu hadapan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.