Minta Penjelasan Kekayaan Anak Mahathir, Exco Armada PPBM Dirujuk Lembaga Disiplin

SHAH ALAM – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan merujuk Lembaga Disiplin berhubung tindakan seorang exconya yang mengadakan sidang media untuk menggesa dua pemimpin tertinggi parti itu memberi penjelasan mengenai beberapa isu berbangkit.

Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan kenyataan yang dibuat Muhammad Hafiz Azhar itu tidak melalui saluran yang betul dan sama sekali tidak melambangkan pendirian sayap berkenaan.

Katanya, Hafiz perlu dirujuk ke lembaga tersebut bagi membolehkannya mempertahankan kenyataan beliau.

“Saya rasa jalan kehadapan bukan sahaja untuk terus lucutkan jawatan beliau tetapi ajukan kes beliau ke Lembaga Disiplin PPBM. Di situ kita akan beri peluang kepada beliau untuk menjawab soalan atau boleh bercakap ‘saya tidak berpuas hati berkenaan isu ini’. Itu hak beliau.

“Tetapi pada masa yang sama jika tetap salah guna nama Armada dan salah guna forum yang salah jadi kita biarkan Lembaga Disiplin PPBM untuk ambil tindakan disiplin. Kita nak guna forum yang betul kita tak nak ambil tindakan sewenang-wenangnya seperti Umno-Barisan Nasional (BN),” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, Hafiz mengadakan sidang media yang menggesa Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil memberi penjelasan bersabit isu yang membelenggu mereka.

Katanya, Mahathir perlu memperjelaskan tuduhan mengenai kekayaan anak-anaknya yang diperoleh dalam masa yang singkat, manakala Muhyiddin pula wajar menjelaskan tuduhan skandalnya dengan seorang wanita yang sehingga kini dakwanya masih belum terjawab.

Hafiz juga berkata cubaannya untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang dibangkitkannya itu daripada kepimpinan yang lain, sering kali tidak dilayan.

Mengulas mengenai perkara itu, Syed Saddiq bagaimanapun menyangkal dakwaan Hafiz.

“Soalan-soalan yang beliau ajukan kita sudah sedia pelbagai jenis forum dimana soalan tersebut boleh dijawab.

“Armada pusat dan negeri sudah jumpa sendiri Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin dan di mana mereka sendiri dah jawab. Sudah lebih tiga kali kita buat perkara ini tetapi beliau tidak pernah hadirkan diri pada satu pun forum tersebut,” katanya.

Ujarnya lagi, walaubagaimanapun Armada masih membuka pintu rundingan kepada Hafiz untuk bersemuka dan membincangkan perkara berkenaan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.