Kempen Baca Al-Quran Dalam Komuter Sempena Nuzul Quran

KUALA LUMPUR – Bersempena sambutan Nuzul Quran yang akan berlangsung esok, kira-kira 60 belia mengadakan kempen membaca al-Quran di dalam tren komuter membabitkan laluan Seremban, Shah Alam dan Batu Caves.

Kempen yang berlangsung kira-kira jam 4.30 petang tadi bermula di Stesen Sentral Kuala Lumpur itu adalah anjuran Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Pertubuhan Belia Islam Malaysia (PEMBINA).

Ketua Biro Islamiyat ISMA, Omar Kasim berkata, kempen itu dijayakan di bawah Program Quran Sana Sini dan diadakan bersempena sambutan Nuzul Quran.

“Kempen membaca al-Quran di dalam komuter ini pertama kali diadakan bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membaca al-Quran ketika menaiki pengangkutan awam.

“Ini sebagai mesej permulaan untuk membiasakan pembacaan al-Quran ketika dalam pengangkutan awam kerana kebiasaannya masyarakat lebih terbiasa melayari Facebook, mendengar muzik atau bermain permainan dalam telefon pintar.

“Untuk program ini, kita pecahkan ahli melalui tiga laluan iaitu Seremban, Shah Alam dan Batu Caves supaya kempen ini dapat dicapai secara meluas,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program itu.

Omar berkata dengan kerjasama PEMBINA, usaha untuk menggalakkan orang muda menyertai kempen itu dilihat berjaya kerana mendapat sambutan daripada sebahagian besar mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.