Thailand Kecewa Aung San Suu Kyi Tidak Bersuara Isu Rohingya

BANGKOK – Pakar perhubungan antarabangsa dan imigresen menggesa ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi supaya mengadakan kempen bagi membantu mengembalikan kerakyatan dan hak asasi manusia kepada etnik Islam Rohingya di Myanmar.

 

Menurut mereka, Suu Kyi yang merupakan Pemenang Hadiah Nobel Keamanan merupakan pemimpin yang berpengaruh di Myanmar.

 

Mereka juga mencadangkan supaya Thailand dan negara-negara anggota ASEAN berusaha meyakinkan Myanmar supaya tidak membiarkan masalah Rohingya menjejaskan negara-negara lain dengan mengiktiraf etnik Rohingya sebagai warganegara Myanmar dan melindungi hak-hak mereka.

 

Cadangan bagi menyelesaikan isu penyeludupan manusia merentas sempadan dan orang hanyut Rohingya itu dibincangkan pada satu forum umum anjuran Institut Keselamatan dan Kajian Antarabangsa (ISIS) bertajuk `Krisis Orang Hanyut baharu Asia: Pengasingan, perundangan dan Semangat Serantau’ di Universiti Chulalongkorn, semalam.

 

Felo Kanan ISIS Thailand, Gwen Robinson berkata, Suu Kyi lebih bertindak sebagai seorang ahli politik dan bukan sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan iaitu dengan berdiam diri berhubung isu Rohingya.

 

“Pilihan raya umum Myanmar semakin hampir, dan adalah dijangka tiada ahli politik yang akan membangkitkan tentang memberi kerakyatan kepada etnik Rohingya,’’ kata Gwen sebagaimana dilaporkan portal asiaone.com.

 

Gwen berkata, masalah Rohingya merupakan isu yang amat sensitif kerana fahaman pelampau Buddha yang mencetuskan konflik agama antara penduduk majoriti Buddha dan penduduk minoriti Islam Rohingya.

 

Sementara itu, bekas Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya berkata, beliau amat kecewa dengan sikap membisu Suu Kyi kerana ikon demokrasi Myanmar itu.

 

“Sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan, beliau perlu berusaha lebih daripada itu (sebagai ahli politik). Beliau sepatutnya mempromosi hak asasi manusia dan demokrasi, bukan sahaja di Myanmar, malah di seluruh dunia,’’ kata Kasit.

 

Kasit turut menggesa negara anggota ASEAN, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) memberi tekanan keoada duta-duta Myanmar di seluruh dunia dan wakil mereka di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera menangani isu etnik Rohingya.

 

Tambahnya, adalah menjadi tanggungjawab Myanmar untuk memberi kerakyatan dan hak asasi kepada etnik Rohingya dan tidak membiarkan masalah tersebut menjejaskan negara-negara jiran. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.