Tempat Duduk Kanak-Kanak, Bayi Dalam Kenderaan Akan Diwajibkan

PUTRAJAYA – Peraturan penggunaan tempat duduk khas untuk bayi dan kanak-kanak dalam kenderaan dijangka diwajibkan pada tahun 2019.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata sebagai anggota dalam pertubuhan antarabangsa iaitu World Forum for Harmonization of Vehicle Regulations (WP29), Malaysia wajib mengadaptasi peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penanda aras tahap kualiti produk automotif yang dipasarkan.

 

“Dari Januari 2012 sehingga kini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah mewartakan 78 peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan tahap kualiti produk automotif, termasuk Peraturan 44 (R44) iaitu Sistem Penahan Kanak-Kanak (CRS).

 

“Untuk permulaan, bermula 1 Januari lalu, R44 terlebih dahulu dikuatkuasakan kepada penyedia kenderaan, yang mana mereka diwajibkan menyediakan kelengkapan dan kemudahan untuk tempat duduk khas bayi dan kanak-kanak atau ISOFIX bagi kenderaan yang dihasilkan selepas tarikh itu.

 

“Kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk melaksanakan undang-undang itu kerana ia tertakluk kepada beberapa prosedur.

 

“Ini termasuk proses advokasi kepada masyarakat untuk mendapat maklum balas mereka dalam tempoh dua tahun, selain dua tahun lagi untuk percubaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen penggunaan CRS, di sini, hari ini. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.