Peniaga Terkejut Terima Bil Air RM421,270.35

BAGAN SERAI – Seorang peniaga yang biasa­nya menerima bil air bulanan tidak lebih daripada RM30, terperanjat apabila menerima bil utiliti itu yang mencecah hampir setengah juta ringgit pada bulan lalu.Bil Air RM400 Ribu

 

Lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Lim berkata, jumlah bil yang melam­bung tinggi berjumlah RM421,270.35 itu disifatkan sebagai tidak masuk akal baginya yang membuka perniagaan menjual barangan elektrik.

 

Lim yang tidak percaya melihat jumlah bil yang perlu dibayar itu segera memaklumkan kepada pemilik premis yang disewanya untuk membuat semakan dengan Lembaga Air Perak (LAP).

 

“Jumlah yang perlu saya bayar memang tidak masuk akal iaitu sebanyak RM421, 270.35. Saya segera memberitahu pemilik premis me­ngenai perkara itu.

 

“Sepanjang enam tahun menyewa dan berniaga, inilah kali pertama saya menerima bil sebanyak itu selain cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang perlu dibayar juga amat tinggi iaitu RM18,782.75,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

 

Menurut Lim, bil itu telah dibawa ke LAP cawangan Parit Buntar untuk diperiksa sebelum dia dimaklumkan terdapat kesilapan teknikal semasa bil itu dicetak.

 

Katanya, selepas pemeriksaan selesai dilakukan, jumlah bayaran yang perlu dijelaskan Lim hanya berjumlah RM25.13 termasuk GST.

 

“Perkara ini tidak seharusnya berulang pada masa akan datang baik kepada saya atau pun orang lain. Jumlah yang tinggi itu memang mengejutkan dan saya hampir pengsan melihatnya,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.