Pengawal Beri Kain Batik Kerana Khuatir Wanita Tidak Dapat Berurusan – Liow

KUALA LUMPUR – Kain batik yang disarung seorang wanita semasa berurusan di sebuah cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini diberikan oleh pengawal keselamatan di situ, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

 

“Berdasar siasatan, pengawal itu khuatir wanita berkenaan tidak dapat menjalankan urusan rasmi di kaunter JPJ, maka dia berikan kain sarung itu kepadanya,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) bagi Kementerian Pengangkutan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

 

Liow bagaimanapun berkata, tiada peraturan yang dikeluarkan oleh JPJ yang menyatakan pelanggan perlu diberikan kain sarung jika mereka tidak menepati garis panduan kod etika pakaian.

 

Tetapi mengulas lanjut, beliau memaklumkan pejabat JPJ adalah tertakluk kepada garis panduan kod etika pakaian yang ditetapkan, sama seperti mana-mana pejabat kerajaan di bawah kementerian dan jabatan lain.

 

Etika Pakaian Pejabat Kerajaan

 

“Berdasarkan siasatan itu yang dijalankan semalam, tindakan akan diambil terhadap pengawal keselamatan itu,” katanya.

 

Isu wanita memakai kain sarung itu menjadi viral dalam laman sosial selepas beliau memuat naik tiga foto dalam laman Facebook.

 

Beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) meminta kementerian mengkaji semula etika berpakaian di kaunter rasmi kerajaan ketika membahaskan RMK-11 semalam.

 

Dalam isu lain, Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, perkhidmatan kereta api Pantai Timur yang terjejas akibat banjir akan mula beroperasi semula sebelum Aidilfitri akan datang.

 

Katanya, sebuah syarikat telah dilantik secara tender terbuka bagi menjalankan kerja pembaikan itu. Berhubung cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di utara Malaysia, Liow berkata pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) sedang dalam proses mengkaji kemungkinan itu.

 

“Sebarang keputusan untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di utara Malaysia adalah tertakluk kepada hasil kajian kemungkinan itu,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.