PasMa Tak Tolak Kemungkinan Wujud Parti Baru

KOTA BHARU – Tidak mustahil wujud pihak-pihak tertentu berusaha untuk menubuhkan parti Islam baharu bagi menggantikan Pas dan seterusnya menjalinkan hubungan dengan rakan komponen PR.

 

Naib Presiden Pasma Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, langkah tersebut dijangka berlaku jika Majlis Syura Ulama mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP.

 

“Bila putus hubungan, secara automatik Pakatan Rakyat (PR) dianggap terbubar kerana PR dibentuk atas gabungan tiga parti.

 

“Saya yakin jika ini berlaku, sebahagian besar penyokong Pas tidak dapat menerima dan mereka sudah tentu akan berbuat sesuatu seperti keluar Pas atau sekurang-kurangnya menghentikan semua penglibatan dan hubungan mereka dengan Pas,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

 

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah yang didakwa menyifatkan ahli Pas akan akur jika ditakdirkan Majlis Syura Ulama memutuskan untuk tidak mahu bersama dengan DAP lagi.

 

Menurutnya, melalui kajian awal yang dijalankan, lebih 60 peratus penyokong PR masih mengharap perikatan itu terus kekal sebagai satu persefahaman politik yang terbaik untuk mencabar Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

 

Beliau berkata, jika benar ada pihak yang akan keluar Pas dan menubuhkan parti lain, maka ketika itu Pas akan menjadi satu parti yang akan bergerak secara bersendirian, kecuali Pas memilih hala tuju baru dalam politik dan bergabung dengan Umno dalam BN.

 

“Dalam hal ini, Pasma sesekali tidak bersetuju dan tidak menyokong keputusan tersebut selari dengan tujuan asal Pasma ditubuhkan untuk membantu Pas memperkukuhkan kedudukannya dalam PR.

 

“Pas perlu sedar bahawa perjuangan mereka, ‘Pas For All’ telah diterima baik oleh masyarakat tanpa mengira batasan agama dan kaum.

 

“Jika ini berlaku, Pas bukan sahaja akan ditendang oleh rakan politik mereka di Pulau Pinang dan Selangor, malah akan hilang sokongan bukan Melayu yang selama ini telah mula menaruh keyakinan melalui pendekatan yang dibawa arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.