PAS Tak Takut Hilang Jawatan Di Selangor, Pulau Pinang

KOTA BHARU – Pemimpin dan ahli Pas tidak takut kehilangan jawatan da­lam kerajaan pakatan pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang sekiranya Majlis Syura Ulama membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

 

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setiap keputusan yang dibuat oleh parti perlu dipatuhi oleh setiap anggotanya biarpun akan kehilangan jawatan di kedua-dua negeri itu.

 

Beliau bagaimanapun berkata, sehingga kini, kepemimpinan tertinggi parti itu belum membuat sebarang keputusan berhubung usul Dewan Ulama Pas yang mendesak supaya kerjasama dengan DAP diputuskan dan perkara itu diluluskan tanpa perbahasan dalam muktamar tahunan baru-baru ini.

 

“Majlis Syura Ulama belum buat membuat keputusan lagi. Sebarang tindakan perlu mendapat arahan parti dan sehingga kini tiada arahan untuk melepaskan jawatan (dalam Kerajaan PKR Se­la­ngor dan Kerajaan DAP Pulau Pinang).

 

“Jika parti sudah membuat keputusan, ahli Pas akan patuh. (Kita) tidak takut hilang jawatan,” katanya melalui mesej aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan DAP yang meminta ahli Pas supaya meletakan jawatan yang dipegang dalam kedua-dua kerajaan negeri itu.

 

Sementara itu, dalam satu majlis di sini malam tadi, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, sepatutnya DAP tidak membuat sebarang komen memandangkan keputusan muktamad berhubung usul memutuskan kerjasama dengan parti itu masih belum diputuskan Majlis Syura Ulama.

 

“Itu masalah dia (DAP ambil serius usul putus hubungan), bukan masalah kita. Dia sepatutnya kena faham dulu kerana keputusan itu (putus hubungan) belum muktamad dan hanya cadangan. Malah, Majlis Syura Ulama belum bermesyuarat lagi.

 

“Yang menjadi masalah sekarang ini, Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan) sudah mendahului seperti pepatah Inggeris, jump the gun tanpa mendapatkan penjelasan daripada kita.

 

“DAP sepatutnya kena tanya dulu apa sebenarnya yang berlaku dan dapatkan penjelasan daripada kita,” katanya.

 

Ketika ditanya sama ada pergolakan yang berlaku antara Pas dan DAP akan menyukarkan lagi pakatan pembangkang untuk merampas Putrajaya, beliau memberitahu perkara itu tidak boleh diramalkan pada masa sekarang.

 

“Kita lihatlah apa yang berlaku,” tambahnya.

 

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kemenangannya sebagai Naib Presiden, beliau berkata, kedudukan tersebut diharap dapat membantu Pas untuk melebarkan pengaruh parti itu di seluruh negara selain berharap usaha melaksanakan hudud akan menjadi lebih kukuh pada masa akan datang. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.