Lelaki ‘Kantoi’ Duduki Peperiksaan Untuk Teman Wanita

ASTANA – Kerana cinta, seorang lelaki sanggup berpakaian seperti wanita untuk menduduki peperiksaan akhir bagi pihak teman wanitanya.

 

Ayan Zhademov, 20, dari Kazakhstan, bertindak di luar dugaan kerana begitu terdesak mahu membantu kekasihnya, 17, yang gemuruh menduduki Peperiksaan Gabungan Kebangsaan bagi memasuki universiti tempatan.

 

Daily Mail melaporkan, Zhademov menyelinap ke dalam dewan peperiksaan di bandar Zhetisai, selatan Kazakhstan, dengan berpakaian blaus putih, skirt kelabu, berambut palsu dan sedikit solekan.

 

Namun penyamaran lelaki itu tidak berjaya apabila pegawai peperiksaan mendapati gambar dalam kad pengenalan calon tidak sama dengan orangnya.

 

Menurut jurucakap lembaga peperiksaan, pihaknya mengesyaki Zhademov mungkin wanita lain yang cuba mengambil tempat calon terbabit, tetapi tidak menyangka dia sebenarnya seorang lelaki.

 

“Dia cuba bercakap dalam nada suara yang halus tetapi daripada suaranya kami sudah tahu dia sebenarnya seorang lelaki,” katanya.

 

Zhademov dikenakan denda sebanyak 1,400 pound (RM8,066) berikutan perbuatannya itu, selain kekasihnya terpaksa menunggu sehingga tahun depan untuk kembali peperiksaan tersebut.

 

Seorang pelajar, Dariga Nesterova menyifatkan tindakan Zhademov itu bodoh tetapi sangat romantik.

 

“Saya sangat berharap teman lelaki saya juga romantik seperti Zhademov,” ujarnya.

 

Seorang ahli perniagaan, Olzhas Hudaibergenov yang tersentuh dengan keberanian Zhademov, bermurah hati untuk membayar separuh daripada denda itu selepas berita mengenai perbuatannya itu tersebar luas. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.