Guan Eng Puji Mat Sabu, Dakwa Kepimpinan Baru PAS Tiada Prinsip

Kerajaan Pulau Pinang memuji tindakan anggota PAS, termasuk bekas timbalan presiden Mohamad Sabu, meletakkan jawatan daripada kerajaan negeri itu susulan keputusan muktamarnya memutuskan hubungan dengan DAP.

 

“Ini adalah pemimpin PAS yang berprinsip, yang menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang bukan kerana jawatan tetapi kerana iltizam mereka untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata ketua menterinya Lim Guan Eng.

 

Lim, yang juga setiausaha agung DAP, berkata telah menerima surat peletakan Mohamad sebagai pengarah PBA Holdings pada 8 Jun.

 

Beliau juga telah menerima peletakan jawatan daripada ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Rosidi Hussain daripada kedudukannya sebagai pengarah Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang.

 

Bekas anggota Jawatankuasa Pusat Mujahid Yusof Rawa juga mengambil tindakan sama sebelum ini, menyebabkan kelihatan timbul keadaan panik di kalangan pemimpin kanan sedia ada PAS, yang dikuasai golongan ulama.

 

Kira-kira 1,000 anggota PAS dikatakan memegang jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang.

 

Dalam kenyataannya hari ini, Lim juga meluahkan rasa kecewanya terhadap keengganan empat ahli majlis PAS Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai daripada PAS berundur daripada jawatan itu.

 

Tindakan itu, kata Lim sangat memalukan dan merendahkan maruah dan penghormatan kepada PAS di mata orang ramai.

 

“Sebagai ketua menteri Pulau Pinang dalam kapasiti saya sebagai setiausaha agung DAP, PAS memutuskan hubungan dengan DAP adalah secara efektifnya bererti memutuskan hubungan dengan saya sebagai ketua menteri Pulau Pinang,” katanya.

 

Mengulas tindakan politik PAS, beliau terus mendakwa parti Islam itu terus “berkelakuan seperti Umno”.

 

Menegaskan kerajaan negeri mempunyai hubungan rapat dengan anggota biasa PAS negeri itu, Lim berkata tindakan pimpinan baru PAS ini telah melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

 

“Jelas kepimpinan PAS yang baru bukan sahaja kehilangan kehormatan mereka, tetapi juga prinsip-prinsip mereka,” katanya. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.