Dakwaan Tun Dr Mahathir Membingungkan, Kata Arul Kanda

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini memberi jaminan akan memastikan komunikasi lebih baik dengan kesemua pihak berkepentingan berhubung maklumat syarikat itu pada masa depan, kata Pengarah Eksekutifnya, Arul Kanda.

 

“Sebagai Presiden syarikat ini, saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas salah faham yang timbul dan akan memastikan komunikasi lebih baik dengan semua pihak berkepentingan.

 

“Lebih-lebih lagi, seperti dijelaskan Kementerian Kewangan (MOF), semua langkah sewajarnya telah pun dilaksanakan bagi mengelak perkara ini berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Arul Kanda berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerusi catatan terbaharu blognya semalam bahawa satu jawapan Parlimen yang dikemukakan pihak MOF telah dipinda.

 

Pada 24 Mei lepas, MOF menjelaskan, dokumen mengenai status kewangan 1MDB kepada BSI Bank di Singapura adalah ditulis dan disemak pegawai MOF berdasarkan maklumat diberikan oleh 1MDB.

 

Arul Kanda turut menegaskan, beliau akan terus memainkan peranannya di syarikat pelaburan strategik berkenaan secara profesional.

 

Selaras pelantikannya untuk mengendalikan kajian semula strategik 1MDB, beliau kini mengetuai langkah bagi pelaksanaan pelan rasionalisasi yang dikemukakan kepada Kabinet pada 29 Mei lepas.

 

Tegasnya lagi, sebagai seorang profesional, beliau turut bertanggungjawab sepenuhnya di atas tindak tanduknya serta kepada pihak Lembaga 1MDB serta MOF.

 

Malah, merujuk konteks masa kini, pihak lain termasuk Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, katanya.

 

“Kesemua ini adalah pihak berwajib yang dapat mengesahkan sama ada saya pernah berbohong seperti didakwa, kerana mereka yang mempunyai akses terhadap semua maklumat.

 

“Saya akan terus menjalankan tugas secara profesional dan memberikan semua maklumat untuk membantu pihak berwajib mengesahkan kebenaran mengenai 1MDB,” katanya.

 

Beliau turut mengulangi kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa “jika terbukti ada sebarang salah laku, tindakan undang-undang akan diambil tanpa sebarang pengecualian” dan “maklumat terperinci fakta oleh pihak berwajib itu adalah diperlukan supaya tidak wujud sebarang salah tafsiran atau maklumat yang diputarbelitkan.”

 

Jelas Arul Kanda : “Inilah pendirian serta kedudukan yang saya sokong sepenuhnya, baik merujuk tingkah laku saya ketika ini serta 1MDB secara amnya.”

 

Selain itu, beliau turut menyifatkan perubahan berterusan membabitkan angka serta dakwaan yang dibangkitkan Dr Mahathir, sebagai membingungkan.

 

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa sejumlah RM42 bilion itu sebagai hilang atau lesap.

 

Namun, selepas 1MDB mengemukakan butiran memperincikan bagaimana RM42 bilion itu dibelanjakan, Arul Kanda berkata, Tun Mahathir menerusi catatan di blognya bertanyakan, “ke manakah sebahagian besar wang RM42 bilion itu dibelanjakan yang menjadi persoalannya.” – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.