Demam Piala Dunia: Brazil Antara Pilihan Utama

Kuala Lumpur – Kehangatan Piala Dunia 2014 mula terasa, penyokong masing-masing mula menunjukkan kecenderungan pasukan mana yang menjadi pilihan mereka.

Rata-rata peminat sukan yang ditemui The Rakyat Post menjangkakan pasukan tuan rumah untuk kejohanan kali ini, Brazil akan meneruskan legasi cemerlang sekali gus menjulang piala berprestij itu bagi kali keenam dalam sejarah bola sepak dunia.

Namun pasukan Argentina, Jerman, Belanda, Sepanyol masih lagi dalam senarai mereka yang juga berpotensi untuk menjulang piala termasyhur ini.

Mohd Faizal Hasan, 30 tahun berpendapat skil individu yang ada pada setiap pemain Brazil membolehkan pasukan itu membelasah pasukan lawan dengan mudah.

“Walaupun rentak permainan samba sudah hilang tapi Brazil mempunyai keistimewaan lain dengan permainan laju,” katanya.

Menurut Faizal, kelebihan bermain di tempat sendiri juga memberi peluang kepada pasukan itu untuk beraksi cemerlang.

“Itu adalah satu kelebihan nyata, sesiapa sahaja yang bermain di tempat sendiri akan lebih selesa dan yakin,” katanya.

Pendapat itu turut dikongsi oleh Mohd Ezuan Mohd Yassim, 26 tahun menyifatkan pasukan itu tidak akan berdepan masalah untuk memberi saingan dalam Kumpulan A bersama Mexico, Cameroon dan Croatia.

“Tidak mustahil semangat dan kekuatan mereka akan bertambah berkali ganda dengan adanya sokongan padu daripada penyokong yang memenuhi seluruh ruang stadium,” katanya.

Mohd Ezuan berkata, walaupun dia tidak mengikuti perkembangan bola sepak secara serius namun kempen Piala Dunia yang meluas memberi gambaran awal bahawa pasukan samba itu akan menjuarainya walaupun mungkin berdepan tentangan hebat daripada pasukan Sepanyol, Jerman dan Argentina.

“Saya tidak terlalu gilakan bola sehingga sanggup keluar awal pagi semata-mata untuk menonton bola sepak, tetapi jika hujung minggu atas ajakan kawan-kawan saya terpaksa akui bahawa menyaksikan Piala Dunia bersama penyokong lain akan memberi suatu perasaan yang tak dapat saya gambarkan. Ia lebih mendebarkan dan mengujakan,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd Zuhairi Abdul Sabba, 28 tahun, pasukan Jerman menjadi pilihannya kerana strategi menurunkan gabungan pemain yang pernah beraksi dalam kempen Piala Dunia sebelum ini memberi kelebihan.

“Kita perlu sedar bahawa Jerman menurunkan Mesut Ozil dan Muller sebagai tunggak utama dan dia pernah bermain ketika Piala Dunia 2010.

“Kali terakhir skuad itu menjulang Piala Dunia adalah pada 1990 apabila menewaskan Argentina 1-0 pada perlawanan akhir,” katanya.

Sementara itu bagi peminat wanita, Nur Sakinah Mohd Farit, 24 tahun berpendapat, pasukan bukan pilihan Belgium bakal menjulang Piala Dunia buat kali pertama kerana skuad yang diturunkan merupakan pemain muda yang berpengalaman bermain Liga Juara-Juara.

Malah katanya, corak permainan ditonjolkan oleh pemain Belgium yang hampir sama dengan Sepanyol dan Jerman mungkin akan memberi saingan hebat kepada pasukan pilihan.

“Penjaga gawang Thibaut Courtois, pada umur 22 tonjolkan kehebatan di gawang gol dan membawa pasukan yang meminjamnya dari Chelsea, Atletico Madrid ke peringkat akhir Liga Juara-Juara.

“Di bahagian serangan mereka mempunyai Eden Hazard, Adnan Januzaj yang menonjolkan aksi konsisten dalam Liga Perdana Inggeris untuk musim 2013/2014,” katanya yang mahu melihat pasukan pilihannya menentang Sepanyol di perlawanan akhir nanti. – Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.