CYBERJAYA– Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengkritik keras kelompok tertentu yang menurutnya semakin berani mempergunakan isu perkauman dan agama demi kepentingan politik, dengan menyifatkan mereka sebagai hipokrit.
Dalam ucapannya sempena ulang tahun ke-79 Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Zahid berkata naratif yang menuduh Umno tunduk kepada DAP hanyalah satu bentuk hasutan yang melupakan sejarah mereka sendiri.
“Mereka jugalah yang membentuk kerajaan bersama DAP demi menjatuhkan kita pada PRU 2018, malah sanggup melanggar prinsip dengan menggunakan logo PKR.
Umno tidak pernah membenarkan ahlinya bersolat di hadapan pejabat DAP, tidak pernah menobatkan mana-mana pemimpin DAP setinggi Khalifah Umar Abdul Aziz.
Lebih ironi, ketika Umno bekerjasama dengan MCA dan MIC, kita juga pernah dikafirkan. Hari ini, mereka meniru model yang sama, inilah hipokrasi politik.”
Zahid mengingatkan bahawa segala keputusan strategik Umno adalah hasil musyawarah bersama dan dibuat demi masa depan parti.
“Ia lahir daripada musyawarah kolektif, daripada jiwa kepimpinan yang memikirkan untung nasib parti ini. Selagi hayat dikandung badan, keutamaan parti tidak akan kami robekkan, maruah perjuangan tidak akan kami khianati selagi kepercayaan kalian semua berikan.”
Beliau juga menjelaskan bahawa kerjasama dalam kerajaan perpaduan kini melibatkan 18 parti dari pelbagai gabungan dan bukannya eksklusif kepada mana-mana pihak.
“Kerajaan perpaduan hari ini dibentuk oleh 18 parti politik meliputi Barisan Nasional, Pakatan Harapan, GPS, GRS, Warisan dan lain-lain. Ia kerjasama lintas sempadan demi menjamin kestabilan.
Tetapi…pesan saya buat kawan atau lawan, jangan meragui kepercayaan dan jagalah batas sempadan. Api kecil yang dijaga rapi, jika dikhianati, akan menjulang menjadi bara; bila ia marak, panasnya tak tertahan, nyalanya tak terelak – bimbang ia membakar semua, tanpa memilih rupa dan badan.”
Dalam konteks hala tuju parti, Zahid menekankan bahawa Umno mesti kekal sebagai parti yang menawarkan penyelesaian kepada isu rakyat dan tidak lagi terjebak dalam politik retorik.
“Wasilah pertama ialah politik solusi. Rakyat hari ini mahu mendengar resolusi yang praktikal, mahu melihat Umno berbicara tentang isu sebenar hidup mereka.
Kejayaan kita dalam PRK membuktikan satu perkara penting: Rakyat kini lebih selesa mendengar solusi menyentuh kehidupan mereka daripada terus dihujani retorik politik semakin memualkan di telinga mereka.”
Beliau turut menggesa agar Umno melahirkan pemimpin baharu yang berani dan berwibawa daripada golongan muda, wanita dan profesional untuk mewarisi perjuangan parti.
Zahid mengakhiri ucapannya dengan menyatakan bahawa Umno mesti kekal sebagai suara sederhana dalam landskap politik negara.
“Inilah politik pertimbangan, kestabilan dan harapan yang mesti kita semat dalam kita memimpin negara bangsa.”