TAWAU, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan satu projek strategik berimpak tinggi melibatkan penghantaran ubat-ubatan menggunakan teknologi dron sempena Program MADANI Rakyat (PMR) di Tawau, Sabah.
Projek yang dipamerkan di reruai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) ini menarik perhatian ramai, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut meluangkan masa melawat reruai tersebut selepas merasmikan program PMR.
Inisiatif ini merupakan projek perintis hasil kerjasama MCMC dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), serta penyedia teknologi dron tempatan. Ia bertujuan mempercepatkan akses ubat-ubatan kepada komuniti luar bandar dan pedalaman yang berdepan cabaran infrastruktur dan logistik.
“Projek ini bukan hanya sekadar demonstrasi teknologi, tetapi satu langkah konkrit dalam memastikan perkhidmatan kesihatan sampai ke akar umbi rakyat, termasuk kawasan pulau, pedalaman dan lokasi sukar diakses,” kata Perdana Menteri dalam kunjungan beliau ke reruai NADI.
Fasa pertama projek dijangka bermula pada suku keempat tahun ini di dua buah NADI terpilih, termasuk di Tawau.
Menjelang 2026, projek ini akan diperluas ke 150 buah NADI, dan akhirnya meliputi kesemua 392 buah NADI menjelang 2027. Ketika ini, terdapat 1,099 buah NADI di seluruh negara.
Selain mempamerkan teknologi dron, reruai NADI turut mengetengahkan Perkhidmatan Pintar NADI yang berteraskan lima fokus utama iaitu Keusahawanan, Kesihatan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesedaran IT dan Perkhidmatan Kerajaan.
Usaha ini memperkukuh agenda digital negara serta menyokong pelaksanaan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI) untuk memperkasakan komuniti luar bandar dan memastikan mereka tidak tercicir dalam arus kemajuan.