UMNO Mampu Bertahan Sehingga 1000 Tahun – Najib

BUKIT JALIL – UMNO mampu bertahan sehingga 1,000 tahun lagi sekiranya menerima sokongan padu daripada ahli UMNO dan rakyat Malaysia, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut beliau, semangat itu wujud apabila melihat lautan manusia berbaju merah yang hadir sempena sambutan ulang tahun ke-71 UMNO di Stadium Negara Bukit Jalil, di sini, malam ini.

“Oleh itu, marilah kita pertahankan parti kita, saya nak tahu, sanggup atau tidak mempertahankan UMNO sehingga ketitisan darah yang terakhir?

“Kalau ini semangat yang ditunjukkan, UMNO bukan dipertahankan untuk 100 tahun lagi, malahan 1,000 tahun lagi, Insya Allah,” katanya dalam ucapannya tadi.

Menurut Najib, beliau kini tidak rasa keseorangan kerana didokong oleh pimpinan yang mantap dan padu.

“Saya berasa semakin bersemangat, rasa lebih yakin kerana bukan saya seorang atau keseorangan, sebab dikeliling saya pemimpin UMNO dalam satu saf yang padu.

“Sebab itulah dengan saf yang padu ini kita tidak berasa gentar, kita tidak gundah gulana, walau cabaran mendatang yang dilontarkan pihak, kita akan hadapi dengan kekuatan,”ujarnya.

Tambah beliau lagi, bukan sahaja sokongan dari ahli -ahli UMNO, malahan sokongan daripada parti politik dalam Barisan Nasional juga turut mendokong kejayaan UMNO dalam mentadbir negara.

Turut hadir pada majlis sambutan berkenaan adalah pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Seramai 150,000 orang hadir bagi memeriahkan sambutan ulangtahun UMNO ke-71 ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.