Lautan Merah Ahli UMNO Banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil

KUALA LUMPUR – Bagai lautan merah. Itu yang dapat digambarkan keadaan di perkarangan Stadium Nasional di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Dengan berbaju T merah, orang ramai dan ahli UMNO dari seluruh negara membanjiri perkarangan Stadium Nasional bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71.

Alimah Ma’on, 52, dari Parlimen Sembrong berkata, dia tidak mahu ketinggalan untuk menyambut hari bersejarah bagi parti keramat itu.

“Saya bersama rakan dan jiran bertolak dari Johor seawal 7 pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada jam 3 petang,” katanya.

Katanya, dia bangga menjadi rakyat Malaysia dan berharap pemimpin dapat meneruskan kepimpinan di masa depan demi kelangsungan generasi akan datang.

“Kita semua perlu bersatu, saling memahami dan bertolak ansur. Ia untuk generasi kita pada masa akan datang,” katanya.

Zuriani Azhar, 31, dari Pulau Pinang berkata, dia cukup bersemangat sebaik melihat semua yang datang berbaju merah.

“Ini adalah kali pertama saya meraikan sambutan ulang tahun parti bersama yang lain,” katanya yang mendaftar sebagai ahli UMNO tahun lalu.

Bagi pelajar Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi Kuala Lumpur,

Norhanani Dzulkifli, 18, kehadirannya ke program itu atas tugasan.

“Kami ada tugasan dan kami kena buat laporan apa yang dapat di sini,” katanya.

Rakannya, Mazniza Mazlan, 18, yang berasal dari Pendang, Kedah, berkata, dia seronok melihat semua dapat berhimpun di satu tempat.

“Saya berasa seronok tengok semua dapat duduk bersama dan berniaga bersama. Ini menampilkan semangat perpaduan. Apabila ada perpaduan, negara akan lebih maju,” katanya. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.