Hubungan Muhyiddin Dan Saya ‘Selesa Dan Kukuh’ – Najib

Kuala Lumpur – Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa hubungan beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap kukuh dan pandangan mereka selari mengenai isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

“Saya hargai sumbangan idea bernas oleh timbalan presiden. Saya jumpa dari hati ke hati dengan beliau dan beri pengakuan bahawa kita akan selalu berbincang dari hati ke hati untuk memastikan kepimpinan Umno …… berasa selesa dan kukuh dan tidak ada pihak yang memecahbelahkan kita,” kata Najib.

 

“Jika ada sebarang berita angin yang tersebar sebelum mesyuarat maka kecewalah mereka yang sebarkan berita palsu itu,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.

 

Portal Malaysiakini sebelum ini memuatkan laporan sensasi berjudul “MT Umno suruh Najib undur petang ini? dengan memetik bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin sebagai mendakwa Najib akan diberitahu pada mesyuarat itu bahawa beliau tidak lagi mempunyai keyakinan ahli Umno.

 

Dalam perutusannya sempena dengan ulang tahun ke 69 Umno, Muhyiddin berkata sebarang isu yang timbul melibatkan soal ketelusan atau tadbir urus dalam kerajaan perlu dipandang berat dan jika terdapat masalah ia perlu diselesaikan segera.

 

“Imej UMNO tidak boleh terpalit dengan isu 1MDB kerana amanah menjadi satu nilai penting yang menjadi teras kepercayaan rakyat kepada parti dan kerajaan,” kata beliau.

 

Kenyataan itu dan beberapa kenyataan Muhyiddin sebelum ini diambil oleh pembangkang sebagai petanda beliau tidak sehaluan dengan Najib mengenai 1MDB.

 

Najib berkata pada mesyuarat hari ini, semua ahli MT Umno melahirkan sokongan padu kepada beliau dan Muhyiddin.

 

“MT mahu supaya presiden, timbalan presiden dan pemimpin umno bersatu dalam satu pasukan untuk menangani segala cabaran dan mengambul tindakan yang positif untuk mengukuhkan lagi kedudukan umno dan BN di sisi rakyat,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.