Video : Belon Udara Terbakar, 2 Terkorban

Richmond – Lebih 100 anggota polis mencari mangsa ketiga yang hilang dalam nahas belon udara panas yang terbakar ketika festival belon Virginia pada malam Sabtu, membunuh dua orang.

Beberapa saksi merakam aksi cemas itu selepas ia terbang ke arah talian tenaga elektrik sebelum meletup, terbakar dan kemudian terhempas kira-kira 46 kilometer dari Richmond.

Saksi juga melaporkan melihat dua orang sama ada terjun atau terjatuh dari bakul belon itu.

Dua mayat mangsa kemudian ditemui kira-kira 1,300 meter antara satu sama lain di kawasan hutan negeri Virginia.

Jurucakap polis Corrine Geller berkata, dua anggota program bola keranjang wanita Universiti Richmond antara mereka yang berada di atas belon itu, kata sumber daripada jabatan atlit universiti terbabit.

Geller berkata, polis tidak akan mendedahkan nama mangsa sehingga petugas perubatan mengenal pasti identiti mereka terlebih dulu.

Operasi mencari terpaksa dihentikan menjelang tengah malam Ahad dan akan disambung pada pagi Ahad, kata polis.

Meadow Event Park yang menganjurkan Festival Belon Mid-Atlantic itu membatalkan acara berkenaan sejurus selepas kejadian.

“Kakitangan kami mengucapkan takziah dan memberikan sokongan kepada mangsa serta keluarga mereka yang terbabit dalam insiden itu,” kata kenyataan di laman webnya.

Ia turut menubuhkan tabung bagi menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa dan bercadang untuk membayar kembali tiket yang sudah dijual.

Sementara itu, saksi, Carrie Hager Bradley berkata, dia dapat mendengar jeritan mangsa yang ketakutan di atas belon berkenaan.

“Mereka menjerit sekuat hati meminta tolong,” katanya kepada stesen televisyen NBC.

Saksi lain turut mendengar bunyi letupan sebelum melihat belon dan bakulnya terputus.

Belon itu ialah satu daripada tiga belon yang dilancarkan pada malam Sabtu di Meadow Event Park di Doswell, Virginia. Dua lagi belon berjaya mendarat dengan selamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.