Sultan Pahang Mahu Rakyat Pertahan Nilai Murni, Kekalkan Perpaduan

Pekan – Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyeru rakyat supaya mengekalkan perpaduan dan pertahankan nilai-nilai murni walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam persekitaran yang sentiasa berubah pada masa kini.

Baginda bertitah walaupun zaman kian berubah, namun ia tidak bermakna semua perkara asas mesti berubah, sebaliknya perlu disesuaikan dengan peredaran masa dan persekitaran.

“Sepanjang 40 tahun memerintah, beta telah menyaksikan bagaimana peredaran masa dan kemajuan sains dan teknologi telah menyebabkan perubahan dalam banyak aspek kehidupan masyarakat. Cara dan gaya hidup masyarakat telah bertukar, sistem nilai juga berubah.

“Politik dan pentadbiran yang dahulunya mudah dan senang, kini menjadi lebih kompleks dan mencabar…begitu juga dengan masyarakat yang dahulunya merupakan kelompok manusia, mudah dan rapat, kini menjadi lebih besar, rencam dan sedikit longgar.

“Beta berasa sedikit gusar memerhatikan masa dan persekitaran telah berubah sehingga menukar sistem nilai yang dipegang kuat oleh masyarakat selama ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada istiadat persembahan Ikrar Taat Setia Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena Memuliakan Sambutan 40 Tahun Pemerintahan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Turut berangkat Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sultan Pahang bertitah baginda merasakan nilai murni sedia ada selama ini perlu dipertahankan termasuk amalan mengasihi ibu bapa, menghormati orang tua, bertimbang rasa, hormat menghormati dan tolong menolong.

Justeru, baginda berharap rakyat dapat memikirkan perkara itu dengan lebih matang, rasional dan tahu membezakan mana yang baik dan buruk untuk masyarakat dan negeri.

Pada masa sama, Sultan Ahmad Shah turut menyeru rakyat pelbagai kaum supaya terus mengekalkan perpaduan yang merupakan asas utama keamanan yang dikecapi negara selama ini.

Menurut baginda, apabila keadaan negara aman lebih banyak program dapat disusun dan dilaksana untuk faedah rakyat dan negeri dan menurut baginda, selain daripada keluarga, kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan baginda.

“Beta juga melafazkan kata-kata hikmah ‘raja dan rakyat berpisah tiada” yang mempunyai erti dan implikasi yang sangat signifikan. Ia membawa erti raja dan rakyat wujud bersama-sama…raja menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, rakyat pula menumpukan taat setia kepada raja”.

Sepanjang menyampaikan titah ucapan, baginda berhenti seketika beberapa kali kerana sebak termasuk ketika mengenangkan Almahrhum ayahanda baginda Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah dan Almarhumah isteri baginda, Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Muhammad.

Sebelum itu baginda turut menerima Perutusan Taat Setia daripada Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah sebagai mewakili kerabat bergelar, kerabat-kerabat dan Orang Besar Pahang.

Sembah Ikrar Taat Setia bagi pihak wakil rakyat, pegawai kerajaan, badan berkanun dan rakyat negeri Pahang diwakili Menteri Besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.