#PRKBukitGelugor : Calon PAS Adalah Ramkarpal Dari DAP – Mat Sabu

Kuala Lumpur – PAS tidak mengiktiraf mana-mana calon lain yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor melainkan Ramkarpal Singh yang mewakili DAP.

“PAS kemukakan calon .. dan calon PAS adalah Ramkarpal Singh,” kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu dalam sidang media sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat seorang pesara yang juga ahli PAS Gombak, Selangor, yang ingin bertanding dalam PRK tersebut.

Mohamed Nabi Bux dalam kenyataannya sebelum ini berkata, beliau berhasrat bertanding bagi membolehkan hukum hudud mampu dilaksanakan di Pulau Pinang menjelang tahun 2020, sekiranya memenangi PRK tersebut.

Justeru beliau berkata akan menulis surat kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memohon kebenaran.

Pesara itu juga menegaskan akan bertanding atas tiket Bebas sekiranya tidak mendapat kebenaran partinya.

Mengulas lanjut berkenaan hal itu, kata Mohamad Sabu, perkara itu langsung tidak dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa parti hari ini.

“Kami tak bincang sebab kami pun tak kenanl dia. Kami sedang siasat dia ahli PAS atau tidak,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, PRK Bukit Gelugor bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru antara DAP; Mohamed Nabi Bux; calon bebas, Mohd Yacoob Mohd Noor; Parti Cinta Malaysia (PCM) dan berkemungkinan seorang calon dari parti baru, Penang Front Parti (PFP). MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) pula tidak meletakkan calon kali ini.

Bagaimanapun keputusan akhir mengenai calon yang bertanding akan diketahui esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.