Perompak Bengang Mesin ATM Kosong,

Kuala Lumpur – Empat lelaki yang bengang selepas mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dipecahkan kosong, nekad membakar mesin berkenaan dalam kejadian di sebuah bank di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata, semua suspek menaiki kereta jenis Proton Saga FLX yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam kejadian 4.45 pagi di Bandar Baru Sentul.

Beliau berkata, suspek juga dipercayai menggunakan gas oxy acetylene untuk memecahkan ATM itu selain menyembur kamera litar tertutup (CCTV) pada mesin berkenaan dengan cat berwarna biru bagi mengelak identiti mereka dikenal pasti.

“Di dalam bank itu terdapat mesin deposit tunai dan ATM. Namun suspek hanya memecahkan ATM…apabila mendapati ia kosong (tiada wang) mereka marah dan bertindak membakar mesin terbabit.

“Sebenarnya mesin ATM itu telah dikosongkan pada 24 April lepas dan ia disahkan sendiri oleh pihak bank,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kesan kebakaran akibat gas oxy acetylene dapat dilihat secara jelas pada ATM itu selain pihaknya turut menemui satu beg kain dipercayai milik suspek.

Polis sedang berusaha mendapatkan rakaman CCTV lain untuk menjejak semua suspek.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.