Pasar Pengkalan Kubor Asalnya Dalam Semak

SEBELUM kawasan Pangkalan Kubor diwartakan sebagai Kawasan Bebas Cukai (KBC) pada 10 Oktober 1989, kawasan ini sebenarnya sudah lama wujud. Namun ketika itu ia hanyalah sebuah pangkalan lama yang memiliki Tanah Perkuburan Islam serta dijadikan tempat persinggahan penduduk setempat untuk pergi ke pekan Tak Bai di selatan Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok menggunakan sampan mahupun perahu pada ketika itu.

Kewujudan kawasan ini menurut Timbalan Pengerusi Peniaga Kawasan Bebas Cukai, Wan Dahari Wan Abd. Rahman, 70, pada asalnya bukanlah sebuah pusat membeli belah seperti yang terdapat kini, tetapi hanyalah pangkalan, selain terdapat beberapa kedai yang dikelilingi semak- samun sekitar tahun 1970-an.

“Pekan Pangkalan Kubor yang ada sekarang ini jauh berbeza berbanding pada masa mula-mula saya membuka kedai buah-buahan di sini. Pada waktu itu, pekan ini dipenuhi dengan semak-samun dan boleh dikatakan pada awalnya pasar yang wujud ketika itu terletak di dalam semak.

“Ketika itu juga tidak wujud sebarang aktiviti perniagaan secara menyeluruh kerana penduduk setempat lebih tertumpu kepada pekan di sebelah Thailand iaitu Tak Bai yang hanya menyeberangi Sungai Golok dengan menggunakan perahu ataupun sampan. Malah, segala bentuk barang keperluan boleh didapati dengan mudah dan murah,” katanya kepada S2.

Beliau yang pernah menjadi tulang belakang kepada penubuhan dan pembangunan kawasan ini juga menceritakan bahawa KBC yang kini menjadi tumpuan pelancong pernah mengalami tiga fasa perubahan dalam bentuk pembangunan struktur selepas mendapat sentuhan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Majlis Daerah Tumpat.

“Fasa pertama semasa mula-mula pangkalan ini dijadikan kedai untuk tujuan kegiatan ekonomi pada ketika itu menyaksikan penduduk membina bangunan kedai dengan menggunakan kayu yang didapati di hutan berhampiran. Selepas itu, kayu yang dibina mula reput dan runtuh ekoran kawasan tersebut tidak mendapat tempat di hati penduduk.

“Jadi, pondok yang dibina tidak diurus dengan baik kerana pada waktu itu, saya memulakan perniagaan buah-buahan. Hasil pendapatan tidak menentu menyebabkan ada di antara peniaga cuba mencari kawasan lain untuk meneruskan perniagaan masing-masing,” jelasnya.

Tambahnya, pasar yang dibina itu seakan-akan mati dengan begitu sahaja dek tidak mampu melawan kuasa pasaran yang ditawarkan di pekan sebelah Thailand.

“Justeru, tidak ramai peniaga ingin membuka perniagaan di kawasan berkenaan menyebabkan kawasan itu hanya wujud mengikut musim-musim tertentu sahaja.

“Seingat saya, pasar ini akan lebih meriah sedikit apabila tiba bulan Ramadan kerana terdapat peniaga yang mula membuka kedai untuk menjual pelbagai juadah berbuka puasa. Pada ketika ini, fasa kedua digerakkan dengan membaikpulih pondok-pondok yang kian menyembah bumi untuk tujuan perniagaan pada bulan puasa,” ujarnya.

Menurutnya, pasar itu kembali sepi seperti sediakala selepas habis bulan Ramadan biarpun penduduk di pekan itu bertali arus untuk pergi ke pekan Tak Bai.

Mengulas lanjut, katanya, selepas tempoh suram itu, mungkin disebabkan kesedaran pihak berwajib ketika itu memperlihatkan kerancakan kegiatan ekonomi yang wujud di negara jiran membuahkan ilham untuk membangunkan semula kawasan di sempadan agar pengaliran wang berlaku dalam negara bagi tujuan meningkatkan ekonomi negara.

“Kesedaran ini telah memberi nafas baharu kepada penduduk setempat untuk menjalankan perniagaan dengan membuka kedai-kedai yang dibina di kawasan tersebut.

“Tambahan pula penduduk setempat seakan-akan menjangkakan bahawa kawasan tersebut akan diwartakan sebagai KBC yang mampu membuka peluang lebih besar dalam industri perniagaan,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, fasa ketiga telah digerakkan bagi memperluaskan KBC serta menaiktaraf pembangunan yang lebih sistematik dan sesuai sebagai pusat perniagaan yang khusus.

Menerusi pewartaan menjadi KBC di bawah Seksyen 65 Akta Kastam 1967, era kegemilangan Pangkalan Kubor mula memuncak kini sehingga mampu bersaing dengan pasaran di selatan Thailand, sekali gus KBC menjadi destinasi utama pelancong yang datang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang, baik dari dalam mahupun luar negara.

Namun era kegemilangan itu terhenti seketika selepas negara mengalami kegawatan ekonomi pada 1996 yang memberi kesan kepada semua pihak.

Tetapi selepas 12 tahun bermula daripada ekonomi negara jatuh iaitu pada 2010, KBC kini dilihat membuka kembali ruang untuk mencapai era kegemilangan yang pernah dikecapi suatu masa dahulu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.