Kecoh : Pemilihan PKR Cabang Kota Raja Dibatalkan

Klang – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kota Raja dibatalkan kira-kira sejam sebelum proses pengundian ditutup, sebentar tadi.

Kejadian berlaku selepas sekumpulan lelaki cuba merempuh masuk pagar tetapi dihalang oleh anggota rela yang bertugas.

Bengang dengan tindakan itu, mereka kemudiannya memanjat pagar setinggi dua meter sebelum merempuh dewan pengundian dan membuat huru hara.

Selepas berjaya memasuki dewan, mereka merampas peti undi dan melemparkan ke lantai dewan hingga menyebabkan kertas undi bertaburan.

Mereka juga bertindak ganas dengan membalikkan meja serta bungkusan makanan yang disediakan di luar dewan untuk diberikan kepada pengundi.

Kejadian juga menyebabkan sekumpulan polis bergegas menuju ke arah dewan bagi mengawal keadaan.

Pembatalan pemilihan diumumkan kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Di Sabak Bernam pula, provokasi melampau di kalangan penyokong calon bertanding menyebabkan proses pemilihan mencetus suasana tegang dan hampir berlaku adegan tumbuk menumbuk.

Kekecohan berkenaan menyebabkan seorang lelaki yang dipercayai penyokong seorang calon bertanding cuba memukul seorang lagi penyokong calon lain menggunakan kayu namun berjaya dileraikan orang ramai.

Bukan hanya kekecohan berlaku dalam kalangan penyokong lelaki tetapi turut membabitkan penyokong wanita yang menyaksikan adegan tarik menarik baju berlaku di antara mereka.

Walaupun kekecohan berjaya dikawal dan dileraikan anggota polis bertugas, namun provokasi dalam kalangan penyokong calon bertanding masih tidak berpuas hati dan menunjukkan isyarat lucah antara satu sama lain.

Kekecohan bermula selepas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memutuskan proses pemilihan PKR Cabang Sabak Bernam dibatalkan dan ditangguh pada jam 1 tengahari tadi dan pemilihan semula akan dimaklumkan ke satu tarikh lain.

Keputusan itu dibuat berikutan tiga daripada empat calon Ketua Cabang Sabak Bernam tidak berpuas hati kerana mendakwa terdapat unsur penipuan pemilihan cabang berkenaan.

Sementara itu, tiga calon Ketua Cabang Pemilihan PKR Klang mendakwa wujudnya unsur sabotaj dalam semakan nama pengundi dan juga penyerahan senarai calon yang bertanding pada pemilihan itu.

Seorang calon Ketua Cabang,Zudin Arsmad, berkata, ketiga-tiga calon yang bertanding bersepakat untuk memboikot pemilihan itu kerana proses pemilihannya dijalankan dengan cara yang tidak telus.

“Apabila nama pengundi disemak di dalam komputer Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP),nama mereka tiada namun apabila disemak menggunakan komputer di pondok Ketua Cabang Klang,Yew Boon Lye, nama mereka tiba-tiba tersenarai.

“Ini menyebabkan petugas di pondok Boon Lye menyerahkan kertas senarai calon mereka yang bertanding kepada pengundi yang menyemak nama mereka di pondok terbabit,” katanya.

Keputusan rasmi untuk pembatalan pemilihan cabang terbabit masih belum ditentukan JPP.

Sehingga jam 2 petang tadi, pemilihan dua cabang di Kuala Selangor dan Subang juga dibatalkan kerana mendapat bantahan daripada pengundi yang menganggap pemilihan cabang itu tidak telus dan mempunyai banyak keraguan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.