Jangan Guna Lambang Roket

KUALA LUMPUR 10 Mei – DAP yang Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) belum disahkan didesak tidak menggunakan lambang parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor dan Teluk Intan yang akan diadakan tidak lama lagi.

Bekas Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Wee Choo Keong (gambar) berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan permasalahan dalam kedua-dua PRK berkenaan memandangkan sebarang keputusan oleh CEC parti itu pada ketika ini tidak akan diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Katanya, tindakan DAP untuk menggunakan lambang parti tersebut dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan bertujuan sengaja mencari isu kononnya ROS serta kerajaan berkomplot untuk menidakkan hak parti tersebut bertanding dan seterusnya, ‘merampas’ kemenangan daripada mereka.

Sudah terang lagi bersuluh, katanya, surat ROS bertarikh 6 Disember tahun lalu menyatakan bahawa CEC parti itu tidak boleh membuat sebarang keputusan mewakili DAP sehingga ROS mengeluarkan satu keputusan akhir berhubung kedudukan jawatankuasa berkenaan.

“Hari penamaan calon PRK Bukit Gelugor semakin hampir. Calon selain DAP tidak perlu gerun dengan persepsi kononnya Bukit Gelugor adalah kubu kuat DAP dan undi simpati selepas kematian penyandangnya, Karpal Singh.

“Namun begitu mengenali kepimpinan tertinggi DAP, mereka akan mengingkari surat ROS bertarikh 6 Disember itu. Sehubungan itu, DAP sememangnya akan bertanding menggunakan lambang roket walaupun ROS belum mengiktiraf CEC parti itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

DAP hari ini mengumumkan pencalonan Ramkarpal Singh, anak ketiga Karpal sebagai calon parti itu dalam PRK Bukit Gelugor yang akan diadakan pada 25 Mei ini.

Mengulas lanjut, Choo Keong berkata, sesiapa sahaja yang menentang DAP pada kedua-dua PRK tersebut akan menang atas dasar teknikal kerana parti itu tidak mempunyai kuasa untuk menggunakan lambang roket.

“Walaupun DAP menang sekalipun kemenangan itu akan dibatalkan oleh mahkamah berdasarkan hujah bahawa watikah kebenaran penggunaan lambang roket telah ditandatangi oleh pegawai yang tidak layak,” tegasnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.