Ibu Terkilan JKM Henti Bantuan Anak OKU

Bera – Seorang Pembantu Perawatan Klinik Kesihatan Bandar 32, dekat sini terkilan apabila pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghentikan bantuan bulanan kepada seorang anaknya yang tergolong orang kurang upaya (OKU).

Kamariah Che Derahman, 48, berkata, pendapatan bulanannya tidak mencukupi untuk menampung keperluan Mohd Farid Mohd Fadil, 11 seperti membeli lampin pakai buang, susu dan ubat-ubatan.

Menurutnya, ketika melahirkan Mohd Farid, dia lemas dalam kandungan kerana berlaku komplikasi semasa melahirkannya.

“Walaupun kini usia Mohd Farid menjangkau 11 tahun namun keadaan fizikalnya masih seperti bayi dan memerlukan perhatian sepenuhnya.

“Saya membelanjakan lebih RM800 sebulan untuk membeli segala keperluan Mohd Farid,” katanya ketika menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas, Datuk Norol Azali Sulaiman di rumahnya, dekat sini.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan daerah, Dr Wan Rosealaiza Wan Abd Ghani dan Pegawai Perubatan, Dr Nur Idilia Ishahar.

Kamariah berkata, bantuan dihentikan atas alasan pendapatannya melebihi had kelayakan yang ditetapkan sedangkan dia masih menanggung tiga anak sebelum ini.

“Mungkin anak sulung saya, Anis Safiyah Husna yang berusia 19 sudah tamat persekolahan menyebabkan pihak mereka (JKM) menghentikan bantuan.

“Hakikatnya, anak sulung saya tidak boleh menyambung pelajaran kerana terpaksa menjaga Mohd Fadil di rumah semasa saya bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Norol Azali meminta JKM meneliti semula kes ini dengan menyiasat latar belakang keluarga terbabit sebelum membuat keputusan.

Menurut beliau, sekiranya keputusan tersebut hanya berdasarkan jumlah pendapatan yang dibandingkan dengan tanggungan semata-mata, ia akan memberi impak kepada pihak penerima seperti yang berlaku kepada keluarga Kamariah.

“Saya percaya JKM ada dasar yang perlu dipatuhi menyebabkan mereka perlu berbuat demikian namun dalam sesetengah situasi, ada perkara yang mereka perlu pertimbangkan.

“Pada masa sama, kita akan bantu meningkatkan pendapatan isi rumah keluarga ini dengan menggalakkan Anis Safiyah Husna menceburi bidang jahitan memandangkan dia pernah mengikuti kursus jahitan di Giat Mara,” katanya.

Norol Azali berkata, langkah itu sekurang-kurangnya dapat memudahkan urusan Anis Safiyah Husna mencari pendapatan dengan mengambil tempahan jahitan sekali gus dapat menjaga Mohd Fadil di rumah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.