Hudud Hanya Untuk Umat Islam

Kuala Lumpur – Pelaksanaan hudud tidak akan menjejaskan mereka bukan beragama Islam.

Pandangan berkenaan dibuat pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah bagi menjawab persepsi salah sebahagian penduduk negara ini.

Tegasnya, sebagai menghormati negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam, penganut agama lain sepatutnya mengambil pendekatan terbuka, bukannya tindakan terburu-buru membantah pelaksanaannya.

Apatah lagi Islam termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan, tapi mengapa mereka lantang menolak? Inilah tugas pemimpin Islam memotivasi mereka supaya patuh dengan Yang di-Pertua Agong yang berperanan sebagai ketua agama.

“Sama ada menasihatkan mereka supaya menerima atau jangan melawan. Lebih baik berdiam diri dan memberi laluan kepada orang Islam menyelesaikan tuntutan mereka,” tegasnya.

Katanya, sikap pemimpin bukan Islam yang secara terang-terangan menolak hudud juga disifatkan seperti menentang Perlembangaan Persekutuan.

“Mereka tidak boleh kacau hak orang Islam, sebagaimana kita tidak sentuh hal berkaitan kepercayaan mereka,” ujarnya.

Menurut Md. Daud, pelaksanaan hukum hudud perlu diberi keutamaan dalam konteks sekarang, walaupun Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk.

“Dari segi hukum, hanya orang Islam yang boleh didakwa di mahkamah syariah. Orang bukan Islam hanya akan didakwa di mahkamah sivil,” jelasnya.

Katanya, wakil ulama dan pakar agama juga perlu menyertai PAS bagi memberi taklimat kepada mereka yang bukan Islam, bagi menjelas dan memperjelaskan kedudukan sebenar pelaksanaannya.

“Kita harus bersama bagi mempertahankan perkara asas dalam undang-undang Islam, bukan disebabkan parti politik, tetapi demi agama.

“Usah pedulikan bukan Islam, kita ada hak untuk laksanakan undang-undang kita, jadi ini masanya untuk kita beri penerangan dan taklimat bahawa mereka tidak terkesan dengan hudud,” katanya kepada The Rakyat Post.

Bagi tujuan berkenaan, PAS mengadakan sesi penerangan kepada MCA di Wisma MCA pada Ahad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.