Segera mulakan pendidikan seks, kekang hamil luar nikah – Faiz Fadzil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masa masyarakat berfikiran lebih terbuka dan menolak pemikiran sempit kononnya pendidikan seks satu tindakan golongan liberal.

Kebimbangan Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil itu merujuk kes terbaru di Kelantan melibatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang hamil hasil hubungan seks dengan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

“Isu dan masalah moral di kalangan pelajar dan remaja atau kanak-kanak di negara ini semakin kronik. Kes buli di sekolah masih berlaku dan semakin kritikal dengan kes hamil seorang remaja perempuan berumur 15 tahun hasil perlakuan seks dengan kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun.

“Bukan setakat itu sahaja, malahan lebih banyak kes jenayah melibatkan golongan ini termasuk dadah di mana kes jenayah-jenayah ini sama ada jenayah umum atau seks berlaku di semua negeri termasuk di Kelantan.

“Menelusuri kes hamil remaja Kelantan tersebut, seksyen 113 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan satu anggapan bahawa tiada kesalahan jenayah rogol bagi kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah. Memandangkan remaja wanita tersebut berumur 15 tahun, maka seksyen 376 Kanun Keseksaan meletakkan ia satu kesalahan rogol (statutory rape). Namun, oleh kerana pelaku berumur 11 tahun, maka pendakwaan tidak boleh diasaskan, jika diteruskan juga, maka kanak-kanak tersebut boleh dibebaskan atas pembelaan statut ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas Faiz lagi, undang-undang jenayah termasuk seks di Malaysia kerap kali dipinda dengan peruntukan hukuman lebih berat dan kelonggaran beban pembuktian, namun kes jenayah dan masalah moral di kalangan pelajar sekolah masih berleluasa.

“Maka, undang-undang bukan solusi lengkap mengekang masalah moral dan jenayah di kalangan pelajar sekolah termasuk jenayah seks.

“Pelajar adalah permata negara dan pembinaan modal insan untuk masa depan negara ini bukan sahaja pada intelektual dan jasmani, tetapi juga perlu diseimbangkan dengan moral, akhlak dan rohani selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Justeru, kita terutama orang Melayu perlu berfikiran terbuka untuk menerima cadangan keperluan pendidikan seks di peringkat sekolah rendah lagi. Pendidikan moral perlu ditambah baik termasuk memasukkan silibus seks bagi memberikan ilmu dan pendedahan awal tentang hukum agama, undang-undang dan kesan kehidupan akibat perbuatan jenayah termasuk seks.

“Sudah pasti akan ada kumpulan yang akan mengkritik dan menentang cadangan ini atas nama agama, tetapi hamil luar nikah juga bertentangan dengan agama dan menambah masalah sosial kepada orang Melayu. Justeru, hamil luar nikah perlu dikekang segera,” desak beliau.

Mengulas lanjut Faiz berkata, kehamilan luar nikah di kalangan remaja terutama orang Melayu adalah satu masalah serius yang perlu ditangani segera.

“Apabila kes jenayah ini berlaku di Kelantan yang kita tahu kehidupan agama yang diterapkan, maka suatu kepelikan dan kejutan terus berlegar dalam fikiran kita, kenapa ia berlaku di Kelantan? Kerajaan Kelantan tidak boleh mendabik dada mengatakan pelaksanaan ‘Islam’ sudah cukup sedangkan masalah moral dan jenayah semakin berleluasa. Ini bermakna, silibus pendidikan di institusi formal atau tidak formal di Kelantan tidak lengkap.

“Kita harus berfikiran sederhana dalam semua hal dan menjadikan ilmu fiqh mizan (idea Profesor Ali Muhyiddin al-Qarah Daghi) sebagai sandaran penghakiman kita. Antara dosa perlakuan seks dan hamil luar nikah, yang manakah mudarat lebih besar? Sedangkan maqasid syariah itu untuk memelihara keturunan. Kita tidak boleh lagi membiarkan pemikiran kita dikuasai emosi dan ketakutan untuk islah, sedangkan pemahaman kita kepada agama tidak sempurna.

“Golongan agama (ulama) sememangnya ahli kepada ilmu ini, tetapi penentuan kehidupan rakyat terletak kepada pemerintah (umara’). Oleh itu, pendidikan seks menjadi keperluan untuk dilaksanakan kerajaan bagi membentuk satu tindakan komprehensif mewujudkan masyarakat madani yang bermoral dan sejahtera. Tidaklah sejahtera kehidupan rakyat negara ini jika golongan mudanya dibelenggu masalah moral yang kronik,” ujarnya lagi.

9 April lalu polis Kelantan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun dipercayai atas dasar cinta dalam kalangan kanak-kanak bawah umur.

Menerusi laporan Sinar Harian, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku minggu lalu itu menyebabkan kanak-kanak lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan, manakala sepupunya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohd Yusoff memberitahu, hasil pemeriksaan terhadap telefon milik kanak-kanak perempuan terbabit banyak menemukan video serta gambar-gambar lucah.

“Hasil penemuan kami juga mendapati kanak-kanak perempuan ini sanggup merekod gambar atau video bogel mereka dan dikongsi kepada lelaki yang baharu dikenali melalui media sosial.

“Masyarakat, terutama ibu bapa dan pihak sekolah, diharap tidak cuba menyembunyikan kes rogol melibatkan sumbang mahram terutama kanak-kanak. Laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat