KUALA LUMPUR – Pelantikan bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi kepada badan berkanun iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) belum muktamad dan akan diteliti semula.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sudah dibincangkan antara beliau bersama Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar berkata, penelitian semula dilakukan berikutan surat pelantikan juga belum dihantar kepada Abdul Azeez.
“Saya juga berbincang dengan Presiden Umno iaitu TPM, … (jadi) akan kita teliti semula memandangkan belum ada (surat) pelantikan,” katanya sewaktu ditemui pemberita ketika meninjau pengagihan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah 2 (STR2) di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Meru Raya, di Ipoh, semalam.
Anwar berkata demikian mengulas mengenai lantikan ahli politik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau badan berkanun yang kini menjadi bualan ramai pihak.
Sebelum ini media melaporkan Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengumumkan pelantikan Abdul Azeez sebagai Pengerusi KEDA yang baharu pada sebuah majlis di Masjid Al-Aqla, Pekan Jitra, Alor Setar, Kedah pada Rabu lalu.
Sementara mengulas mengenai pelantikan ahli UMNO menerajui GLC, Anwar berkata mereka perlu bertanggungjawab, tidak boleh berbelanja melebihi had ditentukan serta pembayaran elaun dihadkan mengikut kelayakan masing-masing antara syarat ditetapkan bagi lantikan itu.
Anwar berkata, setakat ini tiada pelantikan ahli politik bagi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan GLC yang tersenarai di Bursa Malaysia.
“Beberapa pelantikan itu bukan bagi syarikat di dalam ‘public listed’ (senaraian awam). Itu (bagi) GLC, kalau dia ada kelayakan misalnya sebagai akauntan atau peguam maka kita akan lantik tetapi dengan syarat-syarat yang ketat.
“Jangan andaikan GLC itu itu sepertimana pernah berlaku sebelumnya. Kita syaratkan dia jalankan tanggungjawab, tak boleh berbelanja lebih dari yang ditentukan, dan elaun-elaun pun kita hadkan mengikut kelayakan masing-masing,” katanya lapor Bernama.
Selain Abdul Azzez menerajui KEDA, Zahid sebelum ini turut mengumumkan pelantikan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), diikuti dengan lantikan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang kini Setiausaha Agung UMNO selaku sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Selain mereka, bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).