Kemudahan Stesen Pengecas EV Jadi Daya Penarik Pelancong

- Advertisement -

KUANTAN – Penyediaan lebih banyak stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) antara faktor yang boleh menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke bandar raya ini.

Menyedari keperluan membina lebih banyak kemudahan pengecasan EV, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menjalinkan kerjasama dengan pihak operator bagi memastikan usaha menyediakan lebih banyak stesen pengecas EV dapat direalisasikan.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, melalui kerjasama itu juga menjadikan MBK sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang melakukan inisiatif berkenaan.

“Bersesuaian dengan perubahan masa dan perkembangan teknologi, MBK memulakan inisiatif menyediakan stesen pengecas EV untuk kemudahan orang ramai dan pelancong yang berkunjung ke Kuantan.

“Ini adalah antara usaha kita menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke sini dan seperti kita sedia maklum, Kuantan adalah antara destinasi pilihan utama pelancong dari dalam dan luar negara.

“Cuma buat masa ini kita masih kekurangan (stesen pengecas EV), jadi kita mulakan (kerjasama) dengan pihak operator dan dalam masa tiga tahun, kita sasarkan untuk memiliki 160 stesen pengecas EV di sekitar bandar raya Kuantan,” katanya.

Hamdan berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Stesen ‘Electric Vehicle (EV) Charging’ dengan kerjasama BLH Ecoenergy Sdn Bhd dekat Hotel Mega View, di sini, petang semalam.

Hamdan memberitahu sebanyak 59 lokasi sudah dikenalpasti untuk dijadikan stesen pengecas EV di sekitar Kuantan.

Katanya, antara lokasi itu adalah kawasan tumpuan utama pelancong berkunjung seperti di Pantai Teluk Chempedak dan pekan Sungai Lembing.

“Untuk fasa pertama menjelang bulan Jun ini, sebanyak 33 stesen akan dipasang di 13 lokasi membabitkan kos sebanyak RM4 juta.

“Buat masa ini, kita sudah ada 11 stesen pengecas EV di lima kawasan utama seperti di perkarangan Hotel Mega View, kawasan letak kereta Megamall, perkarangan bangunan utama MBK dan kawasan Air Putih,” katanya lagi.

Hamdan menjelaskan penyediaan stesen pengecas EV adalah inisiatif hijau atau ‘Kuantan Go Green’ yang dipromosikan MBK bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

 

author avatar
Nik Syukri Ramli
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat