KUALA LUMPUR – Jika Datuk Seri Najib Razak diberi Pengampunan Diraja dan 47 pertuduhan ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan maka kesan dua hal besar ini adalah suatu malapetaka kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menegaskan, Perdana Menteri perlu diingatkan.
“Gabungan politik Pakatan Harapan (PH) dan PKR akan ditolak oleh rakyat dalam enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
“PH dan PKR seterusnya akan dinyahkan oleh rakyat dalam pilihan raya umum-pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.
“Kesudahannya, PH dan PKR akan rebah dan tersungkur bersama-sama Barisan Nasional (BN) dan Umno jika Najib dan Zahid bebas dan lepas dengan begitu mudah sekali.
“Jika itu berlaku, jangan kata saya tak ingatkan,” kata Hassan mengingatkan Anwar dalam catatan di Facebooknya semalam.
Jelas beliau lagi, imej baik kerajaan pimpinan Anwar setakat ini tercalar dan tercemar dengan isu pengampunan Najib dan penangguhan kes Zahid Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Najib kini memohon dibebaskan daripada hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta melalui pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong. Permohonan pengampunan telah difailkan pada bulan Ogos tahun lalu.
“Manakala Zahid memohon 47 pertuduhan kes rasuah, salah guna kuasa dan pelupusan wang haram digugurkan oleh Peguam Negara. Representasi telah difailkan kepada Jabatan Peguam Negara oleh peguam Zahid,” ujarnya.
Menurut Hassan lagi, daripada prosiding permohonan penangguhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam jelas menunjukkan pihak pendakwaan berjalan seiring dan senada dengan Suruhanjaya Pencegahaan Rasuah (SPRM) memberi alasan tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan kes Zahid yang dikemukakan oleh peguam Timbalan Perdana Menteri itu yang juga Presiden Umno.
“Kesudahannya pada hari ini perbicaraan ke atas Zahid yang telah ditetapkan dari bulan April hingga Julai nanti telah dilapangkan atau dalam bahasa biasa bermaksud ditangguh ke tarikh yang baru.
“Alasan utama penangguhan itu ialah untuk menunggu keputusan Peguam Negara sama ada 47 pertuduhan ke atas Zahid itu wajar digugurkan ataupun tidak,” kata beliau.
Perkembangan apa yang berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini amat menyeramkan dan membimbangkan, tegas Hassan.
“Nampaknya peranan Peguam Negara berada di kedua-dua gelanggang. Pertama, Peguam Negara mengambil posisi dalam pengampunan Najib di bawah Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan bahawa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dianggotai sama oleh Peguam Negara. Seterusnya, melalui Perkara 42(9) menyatakan bahawa Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara.
“Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah disebut dengan jelas bahawa takrif kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong tertakluk di bawah Perkara 42(4)(b) bahawa kuasa Agong dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan mengikut Fasal (5) Perkara 42,” katanya.
Hassan juga menyebut, kedudukan perundangan ini amat jelas berbeza dengan kuasa budi bicara Peguam Negara yang bukan raja dan bukan Agong di Mahkamah sivil.
“Kuasa Peguam Negara untuk mengugurkan 47 pertuduhan ke atas Zahid hampir mutlak di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. Ini berbahaya dan cukup merisau dan membimbangkan kepada sesiapa yang mencintai keadilan, ketelusan dan kebenaran.
“Di bawah Perkara 145(3) dinyatakan secara bertulis bahawa Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di mahkamah sivil.
“Kemungkinan senario yang tidak diingini akan berlaku,” katanya bimbang.-Suara.TV