Sudah Maafkan, Tapi Rafizi Kena Bertaubat

KUALA NERUS – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tuduhan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa Pas menerima dana daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai pembohongan besar dan tidak berasas.

Sehubungan itu, Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang meminta agar pemimpin PKR itu segera bertaubat.

“Apa yang didakwa Rafizi itu (Pas terima dana daripada 1MDB) merupakan satu tuduhan bohong 300 peratus.

“Bagi saya.. saya telah maafkan kesalahan dia kepada saya. Kita anggap dia jahil, tidak tahu dosa pahala.
“Tapi dosa dia dengan Tuhan (sebab fitnah) dia kena bertaubat,” katanya ketika ditemui dalam majlis menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, malam tadi.
Kepulangan pemimpin utama Pas itu disambut ribuan penyokong bagi meraikan kejayaan beliau selepas membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 (RUU 355) di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan sebelum ini mendakwa mempunyai bukti dan maklumat mengenai pemimpin kanan Pas menerima dana daripada 1MDB.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Abdul Hadi turut meminta orang bukan Islam memberi kerjasama serta tidak mengganggu isu RUU 355 demi perpaduan masyarakat majmuk di di negara ini.

Jelasnya lagi, usul berkenaan perlu disokong seluruh umat Islam tanpa mengira fahaman dan parti bagi memperkasakan lagi undang-undang syariah.

“Malah, kita juga sedia untuk beri penjelasan kepada orang bukan Islam mengenai RUU 355 ini agar mereka memahami dengan lebih jelas,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.