Xavier Minta Polis Siasat Tuduhan S. Murali

KLANG – ADUN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar membuat laporan polis ke atas tindakan dua ahli PKR yang mendakwa beliau melakukan penyelewengan dana bantuan mangsa banjir.

 

Menurut Xavier, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menyifatkan ia adalah tuduhan palsu dan berniat jahat.

 

Jelas bekas exco Selangor ini lagi, selain daripada dakwaan mengenai penyelewengan dana, beliau turut didakwa terlibat dengan kejadian kebakaran kereta P. Nyanautayam yang membuat laporan polis Sabtu lalu.

 

“Dalam laporan polis itu juga, saya mahu pihak polis menyiasat tuduhan pengadu bahawa saya terlibat dalam kejadian kebakaran keretanya pada awal pagi 10 April 2016 di dalam laporan polis pengadu yang dibuat di balai polis Klang.

 

“Tuduhan palsu itu amat berat dan merupakan ancaman kepada saya dan keluarga,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sentosa hari ini.

 

Jumaat lalu, Setiausaha PKR Kelana Jaya, S. Murali membuat laporan polis terhadap Xavier atas tuduhan menyeleweng dana untuk membantu mangsa banjir.

 

Murali mendakwa kakitangan pusat khidmat DUN Sri Andalas mengisi borang bantuan dengan pensil untuk menyeleweng bantuan berkenaan.

 

Mangsa banjir berkenaan, P. Nyanautayam turut hadir semasa laporan polis dibuat terhadap Xavier.

 

Susulan tindakan dua ahli PKR itu S.Murali dan P.Nyanauthayam, Xavier akan membuat satu surat aduan kepada Jawatankuasa Disiplin PKR bagi menjalankan siasatan terhadap mereka.

 

“Saya sebagai Naib Presiden PKR akan buat surat aduan kepada jawatankuasa disiplin dan kita akan serahkan kepada jawatankuasa disiplin untuk buat siasatan dan ambil tindakan yang sewajarnya,” ujarnya.

 

Murali yang juga bekas ketua cabang Puchong menggesa kerajaan negeri Selangor, dibawah kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali agar lebih peka dan tidak meluluskan dana membuta tuli untuk mengelakkan mana-mana pihak mengambil kesempatan.

 

Laporan itu dipercayai pertama kali dibuat melibatkan ADUN Andalas berkaitan dakwaan penyelewengan peruntukan kepada pengundi kawasan DUN Andalas.

 

Difahamkan setiap ADUN menerima peruntukan kira-kira RM900,000 bagi membantu penduduk di sekitar kawasan mereka.

 

Murali kemudiannya berkata beliau tidak kisah jika PKR akan menghukumnya berikutan tindakannya mendedahkan dakwaan penyelewengan membabitkan Xavier.

 

Ujarnya, parti yang dipimpin Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu sendiri enggan mengambil tindakan ke atas aduan yang disuarakan pemimpin akar umbi sepertinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.