Sudah ‘Lapan Kali Saya Dilaporkan Mati’ – Awie

KUALA LUMPUR — Penyanyi rock Awie sudah mangli, tetapi masih berang, dengan tindakan penulis blog yang menyebarkan berita palsu kematiannya.

 

“Rasanya sudah lapan kali berita mengenai kematian saya diada-adakan oleh penulis blog yang tidak bertanggungjawab ini,” kata Ahmad Azhar Othman yang lebih terkenal dengan nama glamor itu.

 

“Kebanyakan mereka ingin menaikkan jumlah pelawat dengan menulis berita tidak benar sebegini.”

 

Berita “kematian” penyanyi dan pelakon itu tersebar baru-baru ini ketika beliau sedang menjalani penggambaran filem Bikers Kental 2 di Phuket, Thailand.

 

“Memang telefon saya tidak berhenti berdering apabila tersebarnya berita kematian itu,” katanya, juga juri tetap program televisyen Ceria Pop Star.

 

Beliau juga merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang menyebarkan berita palsu tersebut.

 

Tambanya, berita seperti itu boleh memudaratkan ahli keluarganya, khususnya mereka yang mengalami masalah jantung yang mungkin terkejut dengan “kematiannya.”

 

“Ini membabitkan nyawa dan bukan perkara main-main,” katanya lagi. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.