Rayani Air Digantung Tiga Bulan

KUALA LUMPUR – Jabatan Penerbangan Awam hari ini menggantung syarikat penerbangan Rayani Air untuk tiga bulan berkuatkuasa serta merta.

 

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya akan menjalankan inkuiri ke atas operasi syarikat itu pada 12 Mei.

 

“DCA menggantung sementara sijil pengendali udara Rayani Air yang dikeluarkan di bawah Peraturan Penerbangan Awam 1996 bermula dari tarikh notis ini,” menurut Azharuddin.

 

Dilaporkan, notis penggantungan Rayani Air telah dikeluarkan kepada syarikat penerbangan tersebut hari ini.

 

Sebelum ini media melaporkan bahawa, Rayani Air mengumumkan syarikat penerbangan itu menggantung operasinya berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat lalu sehingga ke satu tempoh yang akan diumumkan kemudian, sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula syarikat.

 

Ia susulan pembatalan beberapa penerbangan pada Jumaat lalu disebabkan oleh mogok yang dilancarkan juruterbangnya.

 

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Ahad berkata, syarikat penerbangan tidak sepatutnya menggantung operasi penerbangan mereka sendiri tanpa kebenaran DCA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.