Polis Siasat Isu Mahathir Gesa Campur Tangan Asing Dalam Hal Ehwal Malaysia

KUALA LUMPUR – Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah membuka empat kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran tindakannya melakukan hasutan menggesa kuasa asing campur tangan urusan hal ehwal Malaysia.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu berkata, setakat ini beberapa siasatan sedang berjalan dan ada antaranya yang sudah dihantar kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

 

“Sebahagian daripada kertas siasatan masih belum diselesaikan dan beberapa daripadanya sudah dikemukakan kepada peguam negara,” lapor Astro Awani yang memetik kenyataan beliau pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan PDRM.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir menafikan telah meminta kuasa asing campur tangan hal ehwal Malaysia

 

“Saya tak minta campur tangan luar. Saya katakan bahawa semua saluran untuk menyatakan kebenaran di negara ini telah disekat oleh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak),” katanya dipetik dari laporan mStar Online.

 

Sabtu lalu, akhbar Australia, The Weekend Australian dalam laporan bertajuk “Mahathir Mohamad calls for foreign interference in Malaysia” melaporkan kenyataan Dr Mahathir yang menggesa campur tangan asing dalam urusan negara ini bagi menjayakan usahanya menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Kebiasaannya saya tidak suka campur tangan asing dalam urusan Malaysia tetapi saluran untuk kami membetulkan keadaan telah ditutup sepenuhnya.

 

“Jadi sekarang kita kena beri laluan kepada campur tangan asing dalam urusan domestik kita. Jika ia sah, ya. Jika mereka ada maklumat, mereka mesti memberikan maklumat dan jika ada penggubahan wang haram, jika kerana membabitkan Najib, itu tidak bermakna mereka mesti menangguhkan undang-undang itu,” kata Dr Mahathir dalam laporan tersebut. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.