Polis Arah Penganjur Batal Program Zakir Naik Di Melaka

KUALA LUMPUR – Polis mengarahkan pihak penganjur forum penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik yang akan berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) pada 17 April ini, dibatalkan.

 

Arahan supaya membatalkan forum bertajuk Similarites Between Hinduism & Islam (Persamaan antara Hinduism & Islam) dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid bagi memastikan ketenteraman awam di negara ini terjaga.

 

Katanya, pihak polis berpendapat forum yang membincangkan dua agama berbeza tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

 

“Saya menasihatkan penganjur berkenaan supaya membatalkan segera program itu daripada diadakan demi menjaga keharmonian dan ketenteraman awam di negara kita.

 

“Kami berpandangan bahawa apabila penceramah-penceramah membincangkan perkara melibatkan persamaan dua agama (persamaan antara Hinduism dan Islam), mereka tidak akan lari daripada membincangkan keburukan mengenai satu agama yang lain yang dilihat tidak sihat untuk negara kita. perlu dibatalkan segera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman hari ini.

 

Khalid berkata, bagi memastikan arahan segera itu dipatuhi, penganjur berkenaan akan dipanggil pagi ini untuk membatalkan forum itu seperti yang disyor dan dinasihatkan polis.

 

“Forum sebegini perlu dihentikan, kita buat keputusan ini atas dasar logik dan berpatutan, kalau tidak sesuai, kita perlu beritahu ia mengancam ketenteraman awam.

 

“Saya harap penganjur ikut arahan, tidak berdegil,” katanya.

 

Sementara itu, penganjur forum akan mengadakan sidang akhbar pada jam 4 petang bagi memaklumkan perkembangan terkini bantahan itu.

 

Kedatangan Dr Zakir ke negara ini ini mendapat bantahan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana didakwa pernah menghina agama lain.

 

Tokoh Maal Hijrah 2013 itu pernah dilarang masuk ke Singapura dan United Kingdom.

 

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagaimanapun mempertahankan Dr Zakir kerana beliau seorang pendakwah yang terkenal di dunia dan kuliahnya telah meyakinkan beribu orang untuk memeluk Islam.

 

“Ribuan manusia menganut Islam kerana ceramahnya. Jutaan muslim mendapat manfaat dari penghujahannya,” kata Asri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.