MAS, Air Asia Tawar Penerbangan Kepada Penumpang Rayani Air

SEPANG – Mulai hari ini, pemegang tiket penerbangan Rayani Air boleh menempah semula tiket yang dibatalkan itu menerusi Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines).

 

Ketua Pegawai Komersial Malaysia Airlines, Paul Simmons, berkata penumpang terbabit berpeluang menikmati potongan diskaun tambang berikutan penggantungan operasi Rayani Air.

 

Katanya, sebagai sebuah syarikat penerbangan negara dan warganegara yang prihatin, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memberi bantuan bagi mengatasi masalah yang dihadapi penumpang Rayani Air.

 

“Dalam hal ini, kami menawarkan tambang istimewa kepada penumpang yang masih ingin meneruskan hasrat mereka untuk ke destinasi.

 

“Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban penumpang yang terjejas dengan insiden itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Untuk menikmati tambang istimewa itu, penumpang terbabit perlu mengemukakan tempahan tiket Rayani Air melalui e-mel mereka sebelum ini, sebagai bukti.

 

Maklumat lanjut, kunjungi kaunter tiket Malaysia Airlines di seluruh negara atau hubungi 1-300-88-3000. Promosi harga tambang murah itu bermula hari ini hingga 30 April ini, untuk perjalanan serta-merta sehingga 31 Julai ini.

 

AirAsia turut menawarkan potongan harga sebanyak 50 peratus kepada penumpang Rayani Air yang terjejas.

 

Tawaran yang bermula hari ini sehingga 27 April itu adalah untuk penerbangan ke Kuala Lumpur, Pulau Langkawi, Kota Bharu dan Kota Kinabalu.

 

Syarikat penerbangan tambang murah itu dalam satu kenyataan memaklumkan, penumpang terjejas hanya perlu menunjukkan tempahan tiket yang sah.

 

Rayani Air menghentikan penerbangan minggu lalu, sejurus selepas 100 hari memulakan perkhidmatan dan Jabatan Penerbangan Awam hari ini mengumumkan penggantungan Sijil Penggendalian Udaranya selama tiga bulan serta inkuiri akan diadakan pada 12 Mei nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.