Man United Terkulai Dalam Enam Minit

LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino berkata pasukannya menampilkan persembahan babak kedua yang ‘sempurna’ selepas kebangkitan lewat permainan membantu mereka membaham Manchester United 3-0, awal pagi tadi.

 

Pesta itu bermula pada minit ke-70 selepas tiga gol dalam tempoh enam minit oleh Dele Alli, Toby Alderweireld dan Erik Lamela di White Hart Lane, menghadiahkan Spurs kemenangan, sekali gus kembali mengecilkan perbezaan kepada tujuh mata dengan pendahulu liga Leicester City.

 

Ia adalah kemenangan pertama Spurs di tempat sendiri ke atas United sejak kejayaan 3-1 pada Mei 2001 dan Pochettino jelas tidak boleh menyembunyikan kegembiraannya dengan prestasi ditampilkan pemainnya.

 

“Persembahan babak kedua sangat sempurna,” katanya kepada Sky Sports.

 

“Kami sangat berpuas hati. Kredit penuh kepada pemain. Mereka menjalankan tugas dengan menakjubkan. Menewaskan United 3-0, anda perlu gembira dengannya.

 

“Pada babak pertama kedua-dua pasukan bersaing rapat dan tidak nampak siapa yang bakal menguasai perlawanan ini, tetapi di babak kedua kami menguasai permainan dengan lebih baik dan mula menemui ruang untuk mencipta peluang.”

 

Dengan berbaki lima perlawanan, Leicester kekal sebagai pilihan untuk dinobatkan juara, tetapi Pochettino belum bersedia mengaku kalah untuk mengemudi pasukannya meraih gelaran pertama liga sejak 1961. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.