Video: Fizo Bidas Doa Minta Tudung Fareeda Bankrap

PUTRAJAYA – Pelakon popular tanah air yang merupakan Pengurus Pemasaran Fareeda, Fizo Omar menasihatkan kepada individu yang berstatus ilmuan agama agar tidak menyindir atau memberi komen yang disifatkan sebagai menghentam tanpa mengetahui perkara yang sebenar terlebih dahulu.

 

Menurut beliau, mereka perlu mengetahui perkara sebenar insiden berkenaan dan perlu bertanyakan kepada mereka terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan dan mendoakan perkara yang buruk terhadap syarikatnya.

 

“Soal doa dan minta bankrap itu, adalah hak individu, kita percaya kepada Allah dan pada saya itu hak indivdu itu untuk mereka bercakap, tapi adalah lebih baik mereka tahu isu sebenar dan mereka faham betul-betul dan tak salah kalau mereka bertanya.

 

“Mereka akan tahu situasi sebenar dan baru boleh keluar kenyataan sendiri di laman sosial,” katanya ketika sidang media di Hotel Marriot Putrajaya sebentar tadi.

 

Tambah beliau lagi, teguran boleh dibuat ke atas beliau tapi bukan bersifat menghentam agar perkara ini tidak mengeruhkan lagi kaadaan.

 

“Bukan saya tak boleh terima teguran, tetapi alangkah baiknya jika mereka tahu situasi sebenar barulah tidak mengeruhkan keadaan,” ujar beliau.

 

Terdahulu, seorang pendakwah, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil membidas pemilik peniagaan tudung Fareeda yang disifatkan sebagai memfitnah agama, dipercayai merujuk kepada penyebaran video pembeli tudung Fareeda yang berhimpit-himpit dan tolak menolak semasa mengambil nombor giliran.

 

“Sebagai suami dan bapa kepada anak perempuan, saya tidak izinkan mana-mana perempuan di bawah tanggungjawab saya memakai Tudung #Fareeda . Ia adalah satu perniagaan yang tidak berakhlaq dan memfitnah agama.

 

“Mustahil Allah dan Rasulullah SAW redha dengan strategi perniagaan sebegini. Ditambah pula dengan keangkuhan admin halaman FB Fareeda yang sarkastik dengan semua teguran tanpa ada sedikit pun rasa bertanggungjawab terhadap ikhtilat ekstrim yang memalukan baru-baru ini,” ulas Ustaz Hasrizal di laman Facebooknya baru-baru ini.

 

Ustaz Hasrizal yang juga dikenali sebagai Saiful Islam turut mendoakan supaya perniagaan tudung Fareeda mengalami kerugian dan kegagalan.

 

“Jika nasihat Mufti dan pelbagai pihak tidak diendahkan, lebih baik Allah bankrapkan sahaja bisnes kalian daripada masyarakat ini ‘bankrap’ akhlaq. Ittaqullah!,” ujarnya lagi. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.