Anak Lee Kuan Yew Bergaduh, Dakwa Hsien Loong Wujudkan Dinasti Politik

SINGAPURA – Pertelagahan keluarga yang tidak dijangka terbongkar semalam antara perdana menteri republik ini dengan adik perempuannya berhubung ulang tahun kematian bapa mereka, Lee Kuan Yew.

 

Dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebooknya semalam, Lee Wei Ling, pakar bedah neuro terkenal berkata, kerajaan Singapura cuba mengambil kesempatan terhadap ulang tahun pertama kematian bapanya dengan mengadakan ‘pemujaan secara berlebihan,’ menurut laporan Channel News Asia, stesen televisyen dan laman berita Internet yang disokong kerajaan.

 

Wei Ling menuduh abangnya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyalah guna kuasa dengan mengadakan acara besar-besaran sempena ulang tahun pertama kematian bapa mereka baru-baru ini.

 

Dia juga mendakwa Hsien Loong cuba mewujudkan sebuah dinasti politik.

 

Channel News Asia berkata, kenyataan itu dipadamkan tidak lama kemudian.

 

Bagaimanapun, Hsien Loong membuat kenyataan dengan menyerang adiknya di laman Facebooknya pula dengan berkata, dia amat kecewa dengan tuduhan Wei Ling.

 

“Dakwaan saya cuba mewujudkan sebuah dinasti amat tidak berasas. Meritokrasi adalah nilai fundamental masyarakat kita dan baik saya, PAP atau rakyat Singapura lain tidak akan membiarkan sebarang cubaan seumpama itu,” tulisnya, merujuk kepada Parti Tindakan Rakyat yang memerintah Singapura.

 

Lee Kuan Yew yang menjadi perdana menteri dari 1959 hingga 1990 meninggal dunia pada 23 Mac 2015.

 

Sepanjang pemerintahannnya, dia sering menyaman pengkritiknya dengan tuduhan membuat fitnah terhadap diri dan juga kerajaannya.

 

Bagaimanapun, dengan tuduhan yang datang dari keluarganya sendiri, ia menggemparkan rakyat Singapura.

 

Kerajaan Singapura mengadakan pelbagai program baru-baru ini bagi memperingati ulang tahun kematiannya.

 

“Ulang tahun pertama kematian seseorang adalah saat penting untuk memperingatinya dan ia menggambarkan kepentingannya terhadap kita. Demikian juga dengan Lee Kuan Yew,” kata Hsien Loong dalam Facebooknya.

 

Menurut Channel News Asia, Wei Ling dalam Facebooknya juga menulis: “Mari kita terima hakikat, apa yang berlaku tahun lalu masih jelas. Tidak ada orang yang boleh melupakannya dalam masa setahun. Tetapi jika kuasa yang mahu menubuhkan sebuah dinasti, anak perempuan LKY tidak akan membenarkan nama LKY dicemari oleh anak lelakinya yang memalukan.”

 

Menurut Channel News Asia, tulisan itu padamkan semalam, tetapi tidak tahu oleh siapa. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.