Sokong PM Dengan Ikhlas – Rafidah

Kuala Lumpur – Pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta untuk berdiri di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk membantunya memperkuatkan parti dan kerajaan kata bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.

 

Ujar bekas menteri kabinet itu lagi, semua pihak di dalam kerajaan supaya menyokong kepimpinan Najib dengan ikhlas.

 

“Putrajaya bukan semata-mata Najib tetapi semua yang berada di dalam kerajaan. Perdana menteri memerlukan pasukan yang cekap, berwibawa, ikhlas dan berpegang teguh kepada tanggungjawab kolektif.

 

“Kita tidak mahu melihat kerajaan BN tergugat. Maka, sokonglah perdana menteri dengan ikhlas untuk memperkuatkan parti dan kerajaan,” katanya yang dipetik Bernama.

 

Dalam pada itu, Rafidah berkata setiap pandangan dan pendapat yang ingin diutarakan kepada mana-mana pihak termasuk Najib, ia perlulah dibuat secara berhemah dan konstruktif.

 

“Sungguhpun kita berhak bercakap, menulis dan memberi pendapat tetapi biarlah dengan cara berhemah dan cara membina atau konstruktif…janganlah mana-mana pihak pula cuba menangguk di air yang keruh,” katanya.

 

Beliau mengulas keterbukaan Najib yang juga pengerusi BN dan presiden Umno menjawab pelbagai isu dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas, kelmarin.

 

Antara isu yang dijawab Najib dalam wawancara satu jam itu ialah mengenai 1Malaysia Development Berhad, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, prospek ekonomi negara serta kritikan daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Veteran Umno Datuk Dr Malik Munip pula berpendapat dalam menghadapi pelbagai tekanan dan kritikan, Najib masih mempamerkan sikap beradab dan tertib.

 

Sebagai perdana menteri, katanya Najib juga memerlukan sokongan pelbagai pihak untuk menerajui negara selain terpaksa berdepan beberapa situasi ekstrem yang belum pernah berlaku dalam kalangan perdana menteri terdahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.