Sempat Beri Bantuan CPR Kepada Rakan Dipanah Petir

BATU KAWAN – Seorang mangsa dipanah petir sempat memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada enam rakannya yang turut terkena panahan petir di kawasan kuil yang sedang dalam pembinaan di sini malam Jumaat.

 

S.Elavalagan, 45, berkata sebaik beliau sedar daripada terkena petir, beliau terus memberikan bantuan CPR kepada rakan-rakannya.

 

“Sebaik sedar, saya nampak enam rakan saya dalam keadaan terbaring. Saya terus beri bantuan CPR kepada mereka. Empat rakan saya kembali stabil namun dua lagi masih tidak sedarkan diri ketika itu,” katanya.

 

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, dua orang maut manakala lima yang lain cedera termasuk seorang kritikal selepas dipanah petir ketika berteduh daripada hujan di kawasan kuil yang sedang dibina di sini.

 

Elavalagan berkata mereka berteduh dan berlindung di bahagian kiri dan kanan kuil sambil berbual-bual sementara menunggu hujan berhenti.

 

“Tiba-tiba kami terdengar dentuman kuat dan saya terasa seperti terkena renjatan elektrik. Tetapi saya tidak rebah, sebaliknya hanya berdiri kejung buat seketika sebelum terdengar suara orang meminta tolong,” katanya.

 

Pihak polis berkata dua mangsa mati akibat melecur teruk.

 

Bercerita lanjut, Elavalagan berkata mereka bertemu di kuil berkenaan bagi meninjau kerja naik taraf yang sedang dijalankan sebelum hujan turun dengan lebat diikuti angin kencang.

 

“Ia berlaku dalam sekelip mata,” katanya.

 

Beliau berkata tiga rakannya masih dirawat di Hospital Sungai Bakap dan dilapor stabil.

 

Hujan ribut malam Jumaat dilapor turut merosakkan kira-kira 100 buah rumah di beberapa kawasan di negeri ini. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.