Protes Beijing: Rahib Tibet Bakar Diri

Beijing – Seorang rahib bertindak membakar dirinya, sebagai memprotes dasar yang dilaksanakan Beijing ke atas penduduk Tibet.

 

Kumpulan hak asasi, Free Tibet yang berpangkalan di London dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, Yeshi Khando, 47, dari Biara Chogri Ngangang di Bandar Kardze, Wilayah Sichuan, membakar dirinya pada Rabu lalu, berhampiran sebuah balai polis, sambil melaungkan beberapa slongan, termasuk “Tibet perlu kebebasan”.

 

Kempen Antarabangsa untuk Tibet yang berpangkalan di Washington turut melaporkan kejadian sama dan memaklumkan, pengawal keselamatan serta polis menggunakan pemadam api untuk menyelamatkan Khando.

 

Namun, sumber-sumber tempatan percaya, rahib tu kemudiannya meninggal dunia.

 

Berpuluh-puluh sami Buddha di Tibet bertindak membakar diri, sebagai membantah kawalan ketat kerajaan ke atas agama mereka dan wilayah berkenaan, selain mahu Dalai Lama kembali ke Tibet.

 

Statistik Kempen Antarabangsa untuk Tibet menunjukkan, seramai 113 lelaki dan 24 wanita membakar diri mereka sejak Mac 2011, dengan kebanyakan daripadanya mati.

 

Beijing menyalahkan Dalai Lama dan beberapa pihak lain atas tindakan membakar diri itu serta mendakwa, kerajaan memperuntukkan sejumlah wang untuk merangsang ekonomi Tibet dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat di wilayah itu.

 

Dalai Lama bagaimanapun menegaskan, beliau menentang segala bentuk keganasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.