KWSP Timbang Selaras Umur Pengeluaran

Kuala Lumpur – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menimbang menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

 

Beliau berkata, negara perlu menangani isu pengeluaran simpanan pada usia 55 tahun berbanding usia persaraan baharu pada 60 tahun, jika tidak ia akan menjadi bebanan kepada masyarakat untuk menguruskan orang-orang yang bersara tanpa wang yang mencukupi dalam akaun mereka.

 

Shahril memetik kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP yang menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.

 

“Secara kasarnya kira-kira 70 peratus orang yang mengeluarkan simpanan persaraan mereka sepenuhnya akan pada dasarnya menghabiskan wang dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

 

“Orang Malaysia kini membuat pengeluaran pertama (pada usia 55 tahun) sebelum bersara penuh (pada usia 60 tahun), dan kami sedang mengkaji isu ini bagi maklum balas dasar yang tepat,” kata Shahril pada taklimat media di sini, hari ini, sempena dengan pengeluaran Laporan Tahunan 2014 KWSP.

 

Beliau berkata, walaupun KWSP mencadangkan jumlah sekurang-kurangnya RM196,800 selepas persaraan, perangkaan menunjukkan hanya 22 peratus penyumbang aktif berusia 54 tahun memenuhi minimum ini tahun lepas.

 

Malahan lebih membimbangkan, 68 peratus daripada ahli KWSP pada usia yang sama memiliki kurang daripada RM50,000 dalam akaun mereka, katanya.

 

Maklumat daripada laporan KWSP menunjukkan simpanan asas ditetapkan pada RM196,800 bagi memberikan pendapatan bulanan RM820 untuk tempoh 20 tahun sehingga usia 75 tahun.

 

Ia juga menyatakan berdasarkan usia persaraan bagi rakyat Malaysia iaitu 60 tahun, dan jangka hayat 72.6 tahun bagi lelaki dan 77.2 tahun bagi wanita, jumlah simpanan (RM196,800) akan memerlukan seorang pesara untuk terus hidup pada hanya RM700 sebulan sepanjang hayatnya.

 

Ini malahan kurang daripada had kemiskinan iaitu RM830 sebulan pada 2012 seperti yang diisytiharkan oleh Jabatan Perangkaan.

 

“Adalah penting untuk mula merancang persaraan seawal mungkin kerana memupuk tabiat menabung memerlukan disiplin dan masa yang mencukupi,” demikian menurut laporan itu.

 

Perancangan yang baik memastikan gaya hidup yang dihajati dapat dicapai selepas persaraan disokong oleh pendapatan yang mencukupi, tetapi ketika ini satu-satunya bentuk simpanan utama bagi kebanyakan rakyat Malaysia ialah jumlah yang mereka simpan dalam KWSP.

 

KWSP berkata ia merancang satu projek perintis yang bertujuan meningkatkan pengetahuan mengenai kewangan asas dan perancangan persaraan dengan menawarkan khidmat nasihat persaraan di dua cawangannya di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. – Bernama

One thought on “KWSP Timbang Selaras Umur Pengeluaran

  • April 12, 2015 at 12:29 pm
    Permalink

    kesian,pada rakyat,biarla rakyat merasa duit simpanan,kalau mati awal,tak merasal3 duit tu..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.