Emas Bernilai RM300,000 Lenyap Dalam Masa 5 Minit Di Jalan TAR

Kuala Lumpur – Kurang daripada lima minit, sebuah kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur mengalami kerugian kira-kira RM300,000 selepas disamun lapan lelaki bersenjatakan pistol dan parang.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Zainuddin Ahmad berkata kejadian berlaku pada pukul 6 petang tadi ketika kedai tersebut masih beroperasi.

 

“Tiba-tiba tiga lelaki menyerbu masuk dengan seorang daripada mereka mengacukan pistol, seorang membawa bawa tukul besi dan seorang lagi membawa parang.

 

“Bagaimanapun tiada tembakan yang dilepaskan dan suspek bertindak memecahkan cermin rak pameran barangan kemas dengan menggunakan tukul dan melarikan barang kemas dari tujuh dulang barang kemas,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

 

Beliau berkata kesemua suspek kemudiannya dipercayai melarikan diri ke arah Dataran Merdeka dengan menaiki motosikal.

 

Zainuddin berkata hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu mendapati empat buah motosikal jenis Yamaha 125Z yang masing-masing dinaiki lima suspek sedang menanti di luar premis itu.

 

“Kedai itu beroperasi selama 20 tahun dan ketika kejadian terdapat dua pekerja di dalamnya. Terdapat juga beberapa saksi melihat kejadian itu, namun mereka tidak berani untuk membantu,” katanya.

 

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api Penalti Berat 1971.

 

Sementara itu, sebuah lagi kedai emas nyaris dirompak oleh empat lelaki di Rawang pada pukul 3.45 petang tadi.

 

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad berkata empat lelaki yang memakai topi keledar bermuka penuh menyerbu masuk ke premis itu dengan seorang daripada mereka mengacukan senjata menyerupai pistol manakala tiga lagi memegang tukul dan memecahkan meja pameran.

 

“Semasa kejadian terdapat empat pekerja dan tiada pelanggan di dalam premis itu. Namun suspek gagal merompak apabila menyedari kehadiran polis.

 

“Suspek melarikan diri dengan motosikal jenis Yamaha LC.3,” katanya ketika dihubungi.

 

Kesemua suspek sedang diburu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.