KUALA LUMPUR – ADUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh mendahului dua lagi pencabarnya bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Umno.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat 5 petang tadi Malaysiakini melaporkan Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka itu mendahului pencabarnya dengan 63 undi.
Manakala dilaporkan dua lagi pencabar lain iaitu bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Shahar Abdullah mendapat dua undi, manakala Armand Azha Abu Hanifah tiga undi.
Muhamad Akmal mendapat undi dari bahagian Bachok, Permatang Pauh, Bangi; Kota Melaka, Gerik, Sembrong, Bagan Serai, Kampar, Alor Setar, Lumut dan Parit Sulong.
Bahagian lain yang memberikan undi kepada beliau ialah Shah Alam, Indera Mahkota, Masjid Tanah, Iskandar Puteri, Keningau, Ipoh Timur dan Petaling Jaya.
Muhamad Akmal memerlukan lagi 39 bahagian bagi membolehkan beliau dipilih sebagai ketua Pemuda Umno yang baru.
Untuk rekod Muhamad Akmal merupakan calon yang mendapat restu bekas Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Empat calon merebut jawatan itu, seorang lagi calon iaitu Meor Hassan Mat Ali, belum mendapat sebarang undi.
Hari ini, perwakilan tiga sayap Umno di 189 bahagian akan memilih pemimpin masing-masing dengan empat calon bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno, Ketua Puteri dan Wanita Umno.