Streram Kecewa Ahli Parlimen PKR Timbulkan Isu Hutang Menjelang PRK Dun Rantau

SEREMBAN -“Saya kecewa kerana dia kawan baik saya,” kata Timbalan Ketua Cabang Rembau, Dr S Streram selepas seorang Ahli Parlimen membuat laporan polis mendakwa beliau tidak membayar hutang.

Katanya, dia juga tidak tahu motif Ahli Parlimen itu berbuat demikian dan mengapa ia baru ditimbulkan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau.

“Yang pasti saya sudah membayar pinjaman berjumlah RM60,000 secara tunai dan bukan seperti dakwaannya RM62,000, dan wang itu dibayar kepada bekas pembantu khasnya pada Oktober tahun lalu.

“Saya juga ada bukti kukuh sudah menyelesaikan hutang itu. Sekarang saya serahkan semuanya kepada pucuk pimpinan untuk tentukan selepas menyerahkan semua dokumen yang diperlukan,” katanya di Dewan Serbaguna Taman Angsamas di sini, hari ini.

Semalam tular di laman sosial mengenai tindakan seorang Ahli Parlimen membuat laporan polis terhadap Streram atas dakwaan dia tidak membayar pinjaman yang dibuat untuk pembelajaran anaknya.

Apabila ditanya sama ada dia ada menghubungi Ahli Parlimen terbabit untuk bertanyakan mengenai perkara itu, katanya dia tidak berhasrat berbuat demikian.

Bagaimanapun katanya, dia akan bertanyakan perkara itu kepada bekas pegawai khas itu dan enggan mengulas sama ada pegawai berkenaan mempunyai kaitan dengan isu itu.

“Saya juga tidak berhasrat membuat laporan polis kerana bagi saya tidak perlu kerana semuanya sudah jelas. Saya yakin perkara ini mampu diselesaikan dengan baik antara kami berdua.

“Saya dapat rasakan isu ini timbul hanya bertujuan memburukkan keadaan menjelang PRK Rantau tidak lama lagi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.