PKR Umum Streram Calon PH Bagi PRK Dun Rantau

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram sebagai calon mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau 13 April ini.

Perkara itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat PKR di sini pada Isnin.

Keputusan pemilihan calon itu sebelum ini dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 9 Mac lalu.

“Selepas bincang secara teliti, kita tekankan sifat kita yang tidak korbankan penduduk Melayu di Negeri Sembilan. Rantau ada kaitan dengan PRU lalu. Kita pindah ke Rantau kerana ada etnik India yang besar. Sebab kawasan lain ramai (calon) orang Melayu termasuk Port Dickson. Kita lakukan ini atas prinsip menjaga kepentingan semua kaum. Maka kita pilih calon India.

“Maka Mesyuarat Majlis Presiden diadakan pada 9 Mac lalu. Kita kemukakan hujah kita, kita juga fikir reaksi keadaan semasa. Kita masih pertahan prinsip perlembagaan, dan dasar kita, maka kita beri hujah sama,” katanya.

Calon yang dipilih juga dilihat berdasarkan kelayakan akademik, rekod kerja dan melihat kepada perkembangan pada pilihan raya umum lalu.

Beliau dalam pada itu mengakui PH bakal berdepan jalan sukar untuk menandingi penyandang kerusi itu sebelum ini, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Tentunya kita bertanding melawan bekas Menteri Besar tiga penggal. Kita tahu sukar. Ada pihak akan guna isu kaum untuk menolak calon kita. Kita akan lakukan segala daya upaya untuk pastikan kemenangan,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding kerusi Rantau selepas pencabarnya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, pada 18 Februari lalu, Mohamad hilang kerusi DUN Rantau selepas gagal dalam ra­yuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangannya terbatal dan tidak sah.

Susulan itu SPR mengumumkan PRK DUN Rantau diadakan pada 13 April depan.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 30 Mac manakala tarikh mengundi awal ialah pada 9 April. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.